Faisal Tehrani dakwa kuasa Ibu Soko tidak boleh diketepikan
Ketika Negeri Sembilan berdepan kemelut politik yang akhirnya membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri lebih awal, Pensyarah Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani, mendakwa apa yang sedang berlaku bertentangan dengan prinsip Adat Perpatih.
Beliau berkata, dari sudut adat, Ibu Soko telah menggunakan kuasa veto terhadap Undang, sekali gus menyifatkan proses yang berlaku sebagai tidak sah.
“Apa yang sedang berlaku di Negeri Sembilan tidak sah, salah. Dari segi adat Ibu Soko telah memveto Undang. Dan mustahil Umno Negeri Sembilan tidak tahu,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Kemelut politik di Negeri Sembilan tercetus selepas penarikan sokongan oleh 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno terhadap Menteri Besar, sekali gus mencetuskan krisis politik yang berakhir dengan pembubaran DUN dan pilihan raya negeri lebih awal daripada jadual asal.
Mengulas kedudukan institusi wanita dalam Adat Perpatih, Faisal berkata golongan Ibu Soko bukan sekadar memainkan peranan simbolik, sebaliknya mempunyai pengaruh besar dalam proses membuat keputusan masyarakat adat.
“Kedudukan mereka di belakang tabir bukannya hanya setakat mendengar, tetapi menjadi penentu dalam mencapai keputusan. Mereka boleh menyatakan ketidakpuasan hati sama ada dalam aspek ekonomi, sosial atau politik,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa wanita adat mempunyai kedudukan yang setara dengan lelaki dalam menentukan keputusan penting walaupun secara tradisinya berada di bahagian dalam struktur masyarakat.
“Wanita adat juga mempunyai suara yang sama dengan lelaki, walaupun dalam perkampungan mereka berada di bahagian dalam. Selain itu, segala sesuatu yang akan diputuskan dan dilaksanakan harus mendapat persetujuan daripada pihak wanita.”
Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan bahawa Ibu Soko mempunyai kuasa veto dalam perkara yang berkaitan dengan perjalanan kehidupan sesuatu kelompok kekeluargaan di bawah sistem Adat Perpatih.
“Hal ini jelas menunjukkan bahawa wanita terutama Ibu Soko mempunyai kuasa veto dalam semua perkara yang berkaitan dengan perjalanan kehidupan anggota masyarakat sebagai unit kelompok kekeluargaan,” katanya.
Kenyataan Faisal dibuat ketika pelbagai pihak terus memperdebatkan krisis politik di Negeri Sembilan, termasuk kaitannya dengan institusi adat dan proses politik negeri yang unik berasaskan Adat Perpatih.
Dakwaan beliau mengenai kedudukan adat dan kuasa veto Ibu Soko merupakan pandangan yang dikemukakannya sendiri dalam konteks perbahasan tersebut.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan injunksi ad interim terhadap enam plaintif dalam pertikaian melibatkan DKU Negeri Sembilan.
Perintah itu antara lain menghalang mereka daripada memanggil atau mengadakan sebarang mesyuarat termasuk Sidang Khas yang dijadualkan berlangsung pada hari yang sama.
Selain Maarof, lima lagi plaintif yang terlibat ialah bekas Undang Luak Sungai Ujong, Mubarak Thahak; Undang Luak Johol, Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; serta Shahbandar Sungai Ujong, Badarudin Abdul Khalid.
Perkembangan terbaru ini menyaksikan pertikaian institusi adat Negeri Sembilan bukan sahaja beralih ke gelanggang mahkamah, malah kini berpotensi melibatkan tindakan penghinaan mahkamah yang boleh membawa implikasi undang-undang lebih serius terhadap pihak-pihak terbabit.
Di sebalik ketegangan berterusan berkaitan pertikaian takhta di Negeri Sembilan, Kerajaan Persekutuan kekal mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Respon itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulas laporan mengenai pertabalan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 oleh Undang Yang Empat dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka.
BACA JUGA Sifatkan lantikan untuk tenangkan gelora politik Perlis, tetapi Husna tolak jawatan lantikan MB