Krisis Perlis belum berakhir, tiga bekas Adun Pas masih tunggu jawapan?

Tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas Perlis yang dipecat susulan kemelut pertukaran Menteri Besar tahun lalu dilaporkan masih menunggu keputusan pucuk pimpinan parti berhubung permohonan mereka untuk diterima semula sebagai ahli.

Walaupun keahlian mereka dihentikan sejak Disember lalu, ketiga-tiga bekas wakil rakyat itu menegaskan mereka tidak berhasrat menyertai mana-mana parti lain dan kekal setia kepada Pas.

Memetik laporan portal FMT, Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail, berkata permohonan untuk kembali menjadi ahli Pas telah dikemukakan sekitar Januari dan Februari lalu, namun sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas daripada kepimpinan pusat.

“Permohonan sudah dibuat lama, tapi belum ada jawapan lagi. Kami tak berhasrat sertai parti lain, kami istiqamah dengan Pas.

“Dari awal kami maklum kami akan buat permohonan balik menjadi ahli Pas,” katanya seperti dilapor FMT.

Menurut beliau, pihaknya percaya pucuk pimpinan Pas sedang mempertimbangkan permohonan tersebut sebelum membuat sebarang keputusan.

Selain Fakhrul, dua lagi  Adun yang dihentikan keahlian ialah Saad Seman (Chuping) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Pada 24 Disember tahun lalu, Pas mengambil tindakan menghentikan keahlian mereka berkuat kuasa serta-merta susulan krisis politik yang membawa kepada pertukaran Menteri Besar Perlis.

Mereka didakwa bersama lima wakil rakyat Bersatu menandatangani akuan berkanun (SD) bagi menarik sokongan terhadap Menteri Besar ketika itu, Shukri Ramli.

Perkembangan tersebut akhirnya menyaksikan Pas kehilangan jawatan Menteri Besar apabila Adun Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah, dilantik menerajui pentadbiran negeri.

Kemelut itu sebelum ini mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai hubungan Pas dan Bersatu di Perlis, termasuk desas-desus bahawa usul undi tidak percaya terhadap Abu Bakar akan dibawa pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Abu Bakar sebelum ini menyifatkan ketiadaan usul tersebut sebagai bukti hubungan kerjasama antara wakil rakyat Perikatan Nasional (PN), khususnya Pas dan Bersatu, masih kukuh.

Menurut beliau, keadaan itu juga memberi isyarat bahawa kerajaan negeri kekal stabil dan tidak mudah digugat oleh spekulasi politik yang berlegar sejak beberapa bulan lalu.

BACA JUGA Nak perbaharui lesen? Semua Mall wajib sedia fasiliti kitar semula