Melimpah, Johor beri petanda baik, PH teruja dengan sambutan

Kehadiran luar biasa penyokong pada majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Johor malam tadi disifatkan sebagai petanda positif menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) itu.

Sambutan yang diterima pada majlis yang dihadiri Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu amat menggalakkan apabila orang ramai melimpahi lokasi program.

Penyokong berbilang kaum dan terdiri daripada pelbagai peringkat umur membanjiri Kim’s Park Business Centre, Batu Pahat.

Sambutan hangat itu turut dikongsikan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek sambal mengucapkan terima kasih kepada rakyat Johor.

“Melaut dan melimpah-limpah rakyat yang hadir. Terima kasih atas sokongan semua!

“Insya-Allah, we will do better! Pakatan Harapan untuk Johor!” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, pemerhati politik, Harun Mohd Shah berkata, kehadiran orang ramai menunjukkan semangat dan keyakinan penyokong PH di Johor semakin meningkat ketika kempen pilihan raya mula memasuki fasa penting.

“Alhamdulillah, full house melimpah sampai ke luar Pelancaran Jentera Pilihan Raya Johor.

“Insya-Allah, Pakatan Harapan menang di Johor!” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Difahamkan, mereka yang membanjiri program tersebut terdiri daripada kira-kira 80 peratus penduduk tempatan.

Perkembangan yang sangat positif buat PH itu memberi gambaran bahawa rakyat Johor menunjukkan minat dan sokongan yang baik terhadap PH menjelang PRN kali ini.

Suasana dengan sambutan hangat sepanjang majlis pelancaran itu juga mencerminkan kesediaan jentera PH untuk menghadapi pertandingan yang dijangka sengit.

BACA JUGA Satu lagi pencapaian membanggakan, Dr Amalina raih PhD dari Imperial College London