JKOM bakal jelajah kampus seluruh negara, Syam Ghaz umum siri dialog bersama Menteri

Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) bakal memperluaskan program libat urus dengan mahasiswa menerusi siri jelajah kampus yang melibatkan penyertaan menteri dan timbalan menteri Kerajaan MADANI di institusi pengajian tinggi seluruh negara.

Ketua Pengarah JKOM yang baharu, Mohd Hisyamuddin Ghazali, berkata pihaknya sedang merangka pelaksanaan program townhall dan dialog secara langsung bersama mahasiswa di universiti awam, universiti swasta, kolej serta Tingkatan Enam.

Menurut beliau, pendekatan tersebut bertujuan membuka ruang interaksi secara terus antara pemimpin kerajaan dan golongan muda bagi membincangkan pelbagai isu semasa, dasar kerajaan serta aspirasi generasi muda.

“Semua IPTA, IPTS, kolej dan Tingkatan Enam seluruh Malaysia, bersedia untuk townhall dialog terus dengan menteri, timbalan menteri Kerajaan MADANI dan saya di seluruh kampus.

“Dulu sembilan kampus kita pernah buat dalam masa sebulan, kali ini kita ligan,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Beliau turut menegaskan komitmen JKOM untuk meneruskan agenda reformasi komunikasi kerajaan dengan memperbanyakkan program turun padang yang memberi peluang kepada mahasiswa menyuarakan pandangan secara terbuka.

“Jalan terus! Reform!” kata beliau yang lebih dikenali sebagai Syam Ghaz.

Untuk rekod, pelantikan Syam Ghaz, 44, sebagai Ketua Pengarah JKOM adalah menggantikan Datuk Ismail Yusop yang menamatkan perkhidmatan, minggu lalu selepas lebih setahun memimpin jabatan tersebut.

BACA JUGA ‘Tak usah berlagak macam kitalah yang terpaling’