‘Tak usah berlagak macam kitalah yang terpaling’

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim mengingatkan semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan supaya tidak membuat dakwaan berlebihan mengenai peranan masing-masing dalam pembentukan dan kelangsungan kerajaan.

Tegas Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu, Kerajaan Perpaduan terbentuk hasil kerjasama pelbagai parti dan pemimpin politik, bukannya disebabkan oleh satu pihak semata-mata.

“Tak perlu ‘overclaim’ (tuntutan berlebihan) seperti ini.

“Kita semua tahu Kerajaan Perpaduan ini terbentuk hasil kerjasama banyak pihak, bukan sebab satu kumpulan saja.

“Tak usah berlagak macam kitalah yang terpaling. Tabiat lama ini nampaknya susah nak hilang,” katanya mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera BN Johor, dilaporkan berkata tanpa 30 kerusi BN itu, Pakatan Harapan (PH) tidak akan mendapat majoriti di Parlimen untuk menerajui kerajaan semasa.

Mengulas lanjut, Kamil yang juga Ketua PKR Cabang Padang Rengas berkata, tidak wajar mana-mana pihak menampilkan diri seolah-olah menjadi faktor tunggal kepada kestabilan politik negara.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Harapan itu juga menegaskan bahawa kestabilan yang dinikmati hari ini terhasil daripada semangat kerjasama dan persefahaman antara parti yang membentuk kerajaan.

“Parti yang ada kerusi paling banyak tak ada pun nak berlagak macam kamilah penyelamat negara, kamilah tonggak utama kepada kestabilan politik negara.

“Kestabilan ini lahir daripada sikap saling menghormati dan persefahaman yang jitu dengan meletakkan keutamaan rakyat dan negara di hadapan, bukan dengan nada dan sikap yang angkuh dan sombong.

“Politik zaman ini sudah berubah. Tapi nampaknya ada orang yang masih tak nak berubah,” tegas Kamil lagi.

BACA JUGA Pas terus pertikai kejujuran Bersatu, kepercayaan yang sudah pecah