Politik dua wajah Umno: Di Persekutuan cakap pasal politik stabil, di Johor masih bermusuh

Politik lama yang bersandar kepada sentimen dan ketakutan disifatkan masih belum berakhir dalam sebahagian kepimpinan Umno Johor susulan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mendakwa beliau lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar bertanya, bukankah Presiden Umno sendiri iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan yang turut dianggotai DAP? 

Bahkan kerajaan hari ini dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Kerajaan Perpaduan yang disertai semua parti utama termasuk PH dan BN.

Beliau melihat, kenyataan Onn Hafiz adalah mengelirukan kerana bercanggah dengan pendekatan yang dibawa Umno di peringkat Persekutuan.

Ujarnya, Umno yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan sering bercakap mengenai kestabilan politik, sedangkan di Johor pula masih memainkan naratif permusuhan.

“Persoalan besar rakyat sangat mudah. Kalau benar begitu jijik untuk “duduk semeja” dengan DAP di Johor, mengapa pemimpin Umno masih terus duduk semeja bersama pemimpin DAP dalam Kabinet setiap minggu?”.

“Inilah yang mengelirukan rakyat. Di Putrajaya bercakap tentang kestabilan dan perpaduan. Di Johor pula memainkan naratif permusuhan dan ketakutan.

“Politik dua wajah seperti ini bukan tanda kekuatan, tetapi tanda krisis dalaman yang masih gagal diselesaikan dalam Umno sendiri iaitu slogan No Anwar No DAP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahfuz secara sinis berkata, kenyataan seperti Onn Hafiz itu memperlihatkan adanya tekanan dalaman terhadap kepimpinan Umno Pusat supaya kembali kepada politik lama yang bersandar kepada sentimen sempit demi sokongan Melayu.

Malangnya kata beliau, anak muda kini tidak lagi mahu politik yang asyik mencari musuh, sebaliknya mereka mahu jawapan tentang pekerjaan berkualiti, rumah mampu milik, pelaburan masa depan, teknologi, pendidikan dan kos hidup.

Lebih mengecewakan, ketika kerajaan MADANI sedang bekerja keras menyusun ekonomi negara dan melindungi kebajikan rakyat, Johor sekali lagi dibawa ke medan perebutan kuasa politik dengan pengumuman pembubaran DUN negeri itu.

DUN Johor dibubarkan ketika negara sedang berdepan ketidaktentuan ekonomi dunia akibat konflik Asia Barat dan tekanan geopolitik global. 

“PRN Johor kali ini bukan sekadar soal siapa paling kuat menjerit di pentas politik. Ia adalah pertarungan antara politik masa depan melawan politik lama yang masih hidup atas sentimen dan ketakutan.

“Johor tidak perlukan lebih banyak drama politik bersiri.

Johor perlukan kepimpinan yang benar benar memahami denyut nadi rakyat dan berani membawa negeri ini melangkah ke hadapan,” katanya lagi.

BACA JUGA BN Johor habis madu sepah dibuang, dulu masa nak kuasa elok je berkawan DAP

BACA JUGA ‘Presiden kamu setiap minggu duduk sebelah saya, harap maklum’ – Anthony sindir Onn Hafiz

BACA JUGA Kritikan buat Onn Hafiz, agenda rakyat lagi penting dari perbezaan politik

BACA JUGA Era satu parti sapu bersih dah tamat, kata Pemuda AMANAH