Mahfuz dakwa Pas sedang atur langkah kerjasama dengan Umno

Tindakan Pas memutuskan kerjasama dengan Bersatu mencetuskan spekulasi bahawa parti itu kini sedang mengatur langkah untuk kembali bekerjasama dengan Umno-BN.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, apabila Pas tidak menyatakan secara jelas sebab parti itu keluar daripada Perikatan Nasional (PN), ia memberi gambaran kuat bahawa parti itu sedang membuka laluan kerjasama dengan Umno.

Beliau berkata, sekiranya kerjasama tersebut benar-benar menjadi kenyataan, Umno perlu menjelaskan kepada rakyat sama ada parti itu bersedia merelakan politik garis keras agama yang selama ini dibawa oleh Pas.

Ini kerana menurut Mahfuz, Pas selama ini membina politik melalui sentimen agama, budaya melabel lawan, mengamalkan politik kebencian, serta menyebarkan naratif ketakutan terhadap kaum dan pihak yang berbeza pandangan dengan mereka.

“Jika benar Umno menerima semula Pas dalam kerjasama politik baru, maka Umno perlu menjelaskan kepada rakyat, adakah Umno kini bersedia merelakan politik garis keras agama berkembang semula demi kepentingan kuasa?,” soalnya.

Mahfuz berkata, terdapat segelintir ahli Umno sendiri yang gemar memainkan sentimen kaum secara sempit.

Gabungan politik seperti ini kata beliau, sangat merbahaya kepada masa depan Malaysia kerana ia menyatukan garis keras agama dan garis keras kaum yang akhirnya menjadikan negara terus terperangkap dalam politik ketakutan dan perpecahan.

“Malangnya, politik Pas sentiasa memerlukan “musuh” untuk terus hidup. Bila gagal membawa penyelesaian ekonomi dan pentadbiran, maka dimainkanlah isu kaum, agama, liberal, DAP, dan pelbagai momokan lain.

“Rakyat mahu masa depan negara dibina dengan idea dan dasar, bukan dengan ketakutan kaum dan agama. Bukannya politik yang menukar musuh dan kawan setiap kali musim pilihan raya tiba. Malaysia perlukan politik penyelesaian, bukan politik ketakutan,” ujarnya.

BACA JUGA Amoi Cina di Pasir Mas mengeluh 6 tahun bayar bil, paip keluar angin saja