Mesyuarat Pas dikata ‘Panas’? Ada ahli dilapor tak setuju putus kerjasama dengan Bersatu
Keputusan Pas untuk menghentikan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) difahamkan bukan dicapai secara sebulat suara apabila beberapa ahli Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dilaporkan menyuarakan pandangan berbeza.
Menurut laporan portal Malaysiagazzete, terdapat beberapa ahli mesyuarat yang tidak bersetuju dengan keputusan tersebut, namun perkara itu tidak dapat disahkan secara rasmi apabila pemimpin kanan Pas enggan mengulas mengenai perjalanan mesyuarat.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar, yang meninggalkan Ibu Pejabat Pas selepas mesyuarat berakhir, tidak memberikan sebarang kenyataan kepada media walaupun diasak dengan pelbagai pertanyaan.
Situasi sama berlaku apabila Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, ditanya mengenai dakwaan wujud perbezaan pandangan dalam mesyuarat tersebut.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu bagaimanapun menegaskan beliau tidak boleh mendedahkan perjalanan mesyuarat kepada umum.
“Saya tidak boleh komen mengenai perjalanan mesyuarat.
“Katanya panas. Tidak, penghawa dingin berfungsi dengan baik,” katanya secara berseloroh kepada media.
Sementara itu, seorang lagi ahli mesyuarat, Datuk Awang Hashim, turut enggan mengulas apabila ditanya mengenai dakwaan terdapat ahli yang tidak bersetuju dengan keputusan Pas Pusat untuk menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu.
“Rujuk kenyataan akhbar,” katanya ringkas.
Ketika ditanya mengenai kedudukan Bersatu dalam Perikatan Nasional susulan keputusan tersebut, Ahmad Fadhli menjelaskan perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat khas berkenaan.
“Itu kita tidak bincang, sebab setakat yang kita keluarkan kenyataan ia masih termaktub.
“Setakat malam ini begitulah (Bersatu masih dalam PN),” katanya.
Terdahulu, Pas menerusi satu kenyataan media mengumumkan keputusan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu selepas meneliti kedudukan serta hala tuju hubungan politik antara kedua-dua parti.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada Isnin dan diumumkan menerusi kenyataan yang ditandatangani Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Setakat ini, belum ada penjelasan rasmi daripada kepimpinan Pas mengenai dakwaan bahawa keputusan tersebut tidak dipersetujui secara sebulat suara, manakala kedudukan Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional juga menurut Pas masih kekal seperti sedia ada.
BACA JUGA Pas terus pertikai kejujuran Bersatu, kepercayaan yang sudah pecah