Dulu anak saudara Nik Abduh didakwa kena tampar, Azhar pertimbang tindakan mahkamah tapi kini…

Isu yang tercetus antara Ketua Umno Beruas, Datuk Dr. Azhar Ahmad dan pelajar Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi berhubung insiden yang berlaku semasa Program Pemerkasaan Bangsa Pemimpin Pelajar dan Pengurusan Kanan anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Janda Baik, Pahang, bulan lalu, diselesaikan secara baik melalui permohonan maaf bersama.

Menerusi kenyataan bersama, kedua-dua pihak memaklumkan bahawa mereka saling memohon maaf atas salah faham yang timbul daripada insiden berkenaan serta menerima permohonan maaf tersebut dengan hati terbuka.

Menurut kenyataan itu, penyelesaian dicapai atas semangat ukhuwah, perdamaian dan saling menghormati demi kepentingan semua pihak.

“Kedua-dua pihak menerima permohonan maaf tersebut dengan hati yang terbuka atas semangat ukhuwah, perdamaian, saling menghormati dan demi kepentingan semua pihak,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Nik Alif Aiman yang juga cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Ia bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan susulan dakwaan ditampar seorang senator ketika menghadiri program rasmi sebuah universiti di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.

Nik Alif berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6 petang selepas tamat sesi ceramah sempena Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 yang diadakan di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU).

Pemimpin mahasiswa berkenaan mendakwa, kejadian tersebut menyebabkannya berasa terhina, malu dan terkesan dari segi emosi kerana berlaku di hadapan orang ramai.

Ekoran itu, Azhar menafikan dakwaan tersebut sebaliknya menjelaskan hanya menyentuh pipi anak saudara sahabatnya tanda kemesraan.

Bekas Ahli Dewan Negara berkenaan itu juga sebelum ini meneliti kemungkinan mengambil tindakan mahkamah.

Dalam kenyataan Azhar dan Nik Alif itu juga, kedua-dua pihak turut mengadakan perbincangan secara mesra yang membawa kepada persetujuan untuk menamatkan pertikaian tanpa meneruskannya ke peringkat yang lebih panjang.

Perbincangan tersebut turut dihadiri beberapa individu lain termasuk Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Kenyataan sama turut menyatakan bahawa Azhar dan Nik Alif bersetuju untuk tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan, komen atau mengambil tindakan yang boleh memburukkan, mengaibkan atau menjejaskan nama baik mana-mana pihak berhubung insiden berkenaan.

Mereka juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu memudahkan penyelesaian tersebut serta berharap hubungan sesama masyarakat dapat terus dipelihara dalam suasana saling menghormati dan berlandaskan nilai kesopanan serta keharmonian.

Dengan penyelesaian yang dicapai, kedua-dua pihak menganggap perkara itu telah diselesaikan secara muktamad dan memohon agar semua pihak menghormati privasi serta keputusan yang telah dipersetujui bersama.

BACA JUGA Mahfuz dakwa Pas sedang atur langkah kerjasama dengan Umno