Tiada elemen ugutan jenayah, siasatan terhadap Azam Baki ditutup

Jabatan Peguam Negara (AGC) telah meneliti kertas siasatan berhubung pengaduan ahli perniagaan Albert Tei terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bagi kesalahan ugutan jenayah di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan.

AGC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, hasil penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan tersebut mendapati elemen kesalahan ugutan jenayah di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan tidak dapat dibuktikan.

“Oleh yang demikian, kertas siasatan tersebut telah diputuskan untuk diklasifikasikan sebagai tiada Tindakan lanjut (NFA),” menurut kenyataan AGC lagi.

Sebelum ini, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing antara lain mendakwa dia telah diugut, dihalang dan menjadi mangsa apabila cuba mendedahkan satu skandal rasuah yang didakwa membabitkan beberapa ahli politik di Sabah.

Susulan itu, pada 3 Jun lalu, Azam yang telah bersara sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mei lalu memberikan keterangan kepada penyiasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

BACA JUGA Umno sedang gali kubur untuk kedua kalinya