Ulama Pas dedah punca sebenar, putus dengan Bersatu?
Dewan Ulama Pas Negeri Terengganu (DUPNT) mendedahkan bahawa keputusan Pas memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu berpunca daripada kegagalan parti itu memenuhi matlamat asal pembentukan Perikatan Nasional (PN), khususnya dalam usaha memperluaskan gabungan politik Melayu-Islam.
Ketua DUPNT, Dr Wan Mat Sulaiman berkata, kerjasama Pas dengan Bersatu dan parti-parti lain sebelum ini dibina atas konsep ta‘awun siyasi, iaitu kerjasama politik yang berasaskan saling membantu bagi mencapai matlamat bersama dan memperkukuhkan perpaduan umat Islam.
Namun menurut beliau, matlamat tersebut gagal direalisasikan apabila Bersatu didakwa mengambil pendirian menghalang penyertaan parti-parti Melayu-Islam lain ke dalam PN.
“Apabila didapati Bersatu menjadi penghalang kepada usaha ini dengan menolak kemasukan parti Melayu-Islam lain ke dalam PN, maka matlamat utama ta‘awun siyasi terhalang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan bahawa dalam perspektif fiqh siyasi, sesuatu kerjasama politik mestilah berteraskan prinsip saling tolong-menolong, membuat keputusan secara bersama serta menghormati dasar dan agenda setiap parti yang bergabung.
Menurutnya, apabila prinsip tersebut dilanggar, seperti yang didakwa berlaku di Perlis dan Negeri Sembilan, ikatan ta‘awun siyasi yang menjadi asas kerjasama itu telah terungkai.
Wan Mat berkata, konsep itu sememangnya bersifat fleksibel dan strategik dalam kerangka siasah syar‘iyyah, namun ia tetap tertakluk kepada matlamat yang lebih besar iaitu mencapai maslahat umum dan memperkukuhkan perpaduan Islam.
“Apabila terdapat bukti yang nyata bahawa matlamat ini diabaikan, malah keputusan yang dibuat memberi kesan negatif kepada rakan ta‘awun, maka penilaian semula terhadap kerjasama tersebut adalah sesuatu yang wajar,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Pas sejak dahulu konsisten memperjuangkan agenda penyatuan ummah melalui pelbagai platform kerjasama politik termasuk Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.
Katanya, Pas tidak pernah menolak penyertaan mana-mana parti Melayu-Islam, malah sentiasa mengalu-alukan kerjasama yang dapat memperkukuhkan kekuatan politik umat Islam.
“Dalam PN, Pas tetap dengan prinsip yang sama, mengalu-alukan parti Melayu lain bersama bagi menguatkan agenda perpaduan ini,” katanya.
Menurut beliau, apabila rakan kerjasama berada pada kedudukan yang menghalang agenda tersebut dan berkeras menyekat kemasukan parti-parti lain ke dalam PN, maka pendirian itu sudah tidak lagi selari dengan tujuan asal penubuhan gabungan berkenaan.
Sehubungan itu, DUPNT menyeru seluruh ahli dan pendukung Pas menerima keputusan kepimpinan pusat dengan jiwa besar serta meletakkan kepercayaan penuh terhadap kebijaksanaan pucuk pimpinan parti.
Wan Mat berkata keputusan yang dibuat bukan bersifat tergesa-gesa, sebaliknya hasil penelitian mendalam terhadap laporan, analisis dan perkembangan politik semasa.
Pada Isnin lalu, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan bahawa parti itu telah memuktamadkan keputusan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta, sekali gus membuka lembaran baharu dalam landskap politik pembangkang negara.
BACA JUGA Anwar mahu Asia jadi ‘jambatan’, bukan medan pertempuran