Beranikah Pas Selangor cabar Azmin? Pemuda AMANAH desak jawapan terbuka

Pemuda AMANAH Selangor mencabar Pas Selangor menyatakan pendirian secara terbuka sama ada parti itu masih menerima kepimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam Perikatan Nasional (PN) negeri selepas Pas Pusat memutuskan hubungan politik dengan Bersatu.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Selangor, Ammar Izham berkata, keputusan Pas Pusat baru-baru ini telah menimbulkan persoalan besar mengenai kedudukan Pas Selangor dalam gabungan pembangkang yang ketika ini masih diterajui pemimpin kanan Bersatu.

Menurut beliau, sehingga kini Pas Selangor belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kedudukan mereka dalam PN Selangor susulan keputusan tersebut.

“Persoalan yang wajar dijawab ialah sama ada Pas Selangor akan terus bergerak dalam kerangka politik yang diterajui Bersatu di Selangor atau mempunyai pendirian tersendiri berhubung keputusan yang dibuat oleh pimpinan pusat parti mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Pas Selangor sepatutnya berani menyatakan pendirian memandangkan parti itu sering digambarkan mempunyai keupayaan lebih besar untuk memimpin PN berbanding Bersatu.

Menamatkan hubungan

Ammar turut menarik perhatian bahawa Bersatu sendiri telah menyatakan komitmen untuk terus memperkukuhkan PN walaupun Pas mengambil keputusan menamatkan hubungan politik dengan parti itu.

Katanya, keadaan tersebut menjadikan penjelasan daripada Pas Selangor semakin penting bagi menjelaskan kedudukan sebenar mereka dalam gabungan pembangkang di negeri itu.

Sehubungan itu, beliau mencabar Pas Selangor supaya menyatakan secara jelas sama ada mereka menerima dan mematuhi sepenuhnya keputusan Pas Pusat untuk memutuskan hubungan politik dengan Bersatu.

Selain itu, beliau turut mendesak Pas Selangor menolak kepimpinan Mohamed Azmin Ali serta menukar Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor sebelum Sidang Khas Dewan Negeri yang dijadual berlangsung pada 19 Jun ini.

“Jika Pas Selangor memilih untuk mengekalkan status quo atas apa juga alasan, ia membuktikan bahawa Pas Selangor tidak mempunyai keupayaan untuk mengetuai pembangkang, apatah lagi mentadbir negeri,” katanya.

Jelasnya, rakyat Selangor semakin memahami corak politik pembangkang yang didakwa lebih menumpukan kepada percaturan politik berbanding usaha membangunkan negeri.

Tambah beliau lagi, Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri dan Persekutuan kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada agenda pemulihan ekonomi serta kemajuan negara demi kepentingan rakyat.

BACA JUGA Cara Pas kerjasama dengan Bersatu langkah betul bukan macam Langkah Sheraton, kata Hadi