Cara Pas kerjasama dengan Bersatu langkah betul bukan macam Langkah Sheraton, kata Hadi

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan kerjasama politik yang pernah dijalinkan antara Pas dan Bersatu bagi mengambil alih kerajaan dilakukan mengikut proses yang betul serta tidak boleh disamakan dengan apa yang sering dilabel sebagai “Langkah Sheraton”.

Ahli Parlimen Marang sejak 1990 itu berkata, kerjasama tersebut dilaksanakan menerusi pendekatan ta’awun siyasi bersama Bersatu dan beberapa pihak lain menggunakan akuan berkanun (SD) sebagai kaedah membentuk kerajaan.

“Langkah ini melalui proses yang betul, bukan yang dinamakan Langkah Sheraton yang pendek, yang kemudiannya diambil peluang oleh kalangan tertentu bagi menonjolkan diri seseorang,” katanya dalam tulisan amat panjang menerusi Minda Presiden Pas hari ini.

Dalam masa sama, Abdul Hadi mendakwa hubungan Pas dengan Bersatu mula bermasalah apabila parti itu lebih menumpukan kepada penguasaan kuasa politik berasaskan jumlah kerusi berbanding matlamat asal penyatuan umat Islam.

Beliau turut mendakwa Bersatu cuba mengehadkan penyertaan beberapa parti lain dalam usaha memperluaskan kerjasama politik, selain didakwa bersikap rakus dalam pembahagian kerusi pilihan raya tanpa mengambil kira kekuatan jentera dan kelayakan calon.

Menurutnya lagi, Pas terpaksa menanggung pelbagai masalah berpunca daripada krisis dalaman Bersatu termasuk pemecatan pemimpin, perebutan kuasa serta beberapa tindakan yang disifatkannya menjejaskan kekuatan Perikatan Nasional (PN).

Tidak berpuas hati

Abdul Hadi berkata, Pas juga tidak berpuas hati dengan beberapa tindakan Bersatu yang menjejaskan kerajaan negeri dipimpin Pas di Perlis serta menggagalkan operasi politik tertentu melalui penarikan sokongan yang sebelum ini sudah mencukupi.

Jelasnya, pelbagai usaha pembetulan dan teguran telah dilakukan oleh Pas termasuk melalui perbincangan serta pertemuan khas, namun tidak mendapat tindak balas sewajarnya daripada Bersatu yang menurutnya lebih tertumpu kepada masalah dalaman parti.

Sehubungan itu, kata Hadi, Majlis Syura Ulamak Pas menjalankan proses muhasabah, tabayun dan kajian terperinci sebelum membuat keputusan untuk menamatkan ta’awun siyasi dengan Bersatu.

“Ahli Jawatankuasa Pas Pusat menerima pandangan Majlis Syura Ulamak dengan membuat keputusan memberhentikan ta’awun dengan Bersatu demi beristiqamah atas prinsip dan matlamat perjuangan Pas,” katanya.

Walaupun kerjasama itu telah berakhir, Hadi menegaskan Pas tidak pernah rugi sepanjang bekerjasama dengan Bersatu kerana parti itu berjaya menambah kerusi, menawan empat negeri serta muncul sebagai parti yang memiliki kerusi Parlimen terbanyak.

Bekas Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu menambah Pas akan terus terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak selagi ia selaras dengan prinsip perjuangan parti serta agenda penyatuan umat Islam dan masyarakat majmuk negara ini.

BACA JUGA Ratu Naga dakwa dia yang bersihkan imej Pas