Lawatan PMX ke Jepun kali ini bukan biasa-biasa, kenapa?

Lawatan PMX ke Jepun kali ini bukan biasa-biasa apabila Malaysia berjaya mengikat satu perjanjian tenaga berskala besar menerusi kontrak bekalan gas asli cecair (LNG) selama 20 tahun antara Petronas dan syarikat penjana elektrik terbesar Jepun, Jera.

Pemerhati ekonomi, Nazri Hamdan berkata, di bawah perjanjian tersebut, Petronas akan membekalkan dua juta tan LNG setahun bermula 2028, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rakan tenaga strategik Jepun dalam jangka panjang.

Kontrak berkenaan melibatkan kira-kira 40 juta tan LNG sepanjang tempoh 20 tahun, sekali gus memberikan kepastian pendapatan dan kestabilan perniagaan dalam sektor tenaga yang sering terdedah kepada turun naik harga.

Katanya, kejayaan memeterai kontrak tersebut turut mencerminkan keyakinan Jepun terhadap keupayaan Malaysia sebagai pembekal tenaga yang dipercayai serta mampu memenuhi keperluan keselamatan tenaga negara itu untuk tempoh yang panjang..

“Cuba korang fikir pada masa banyak negara sedang berebut sumber tenaga yang stabil dan selamat, keputusan Jepun untuk buat komitmen selama dua dekad dengan Malaysia, menunjukkan keyakinan yang tinggi terhadap keupayaan Petronas dan kestabilan Malaysia sebagai pembekal tenaga.

“Akan tetapi, korang pernah tertanya tak kenapa Jepun buat perjanjian jangka masa panjang macam ini?

“Lepas krisis tenaga global pada tahun 2022 akibat perang Rusia Ukraine, Jepun ini mula sedar diri bahawa terlalu bergantung kepada pasaran eksport LNG boleh menjadikan sangat mahal dan berisiko 

“Contohnya korang ingat tak harga LNG asia ini pernah melonjak kepada sekitar 10 USD per MMBTU kepada lebih 50 USD per MMBTU dalam tempoh krisis.

“Dan sebab itulah Jera cenderung untuk mengunci bekalan kontrak untuk 10 hingga 20 tahun untuk pastikan harga bekalan ini lebih stabil,” katanya dalam satu perkongsian video.

Selain itu, apa yang menarik dalam lawatan PMX ke Jepun adalah perjanjian perdagangan dalam mata wang ringgit dan yen.

“Ini bermaksud Malaysia dan Jepun nakkan lebih banyak urusan perdagangan dibuat terus dalam ringgit dan yen dan tak payah lah nak tukar kepada USD. 

“Bila kita benda macam ini, dia akan kurangkan kos pertukaran mata wang, kurangkan risiko turun naik USD dan mudahkan syarikat di kedua-dua negara berniaga antara 1 sama lain,” ujarnya.

BACA JUGA Penduduk gantung kain rentang cari MP Tumpat, ADUN Pengkalan Kubor