BUDI95: Prihatin tugas wartawan, Fuziah mahu jumpa Kementerian Kewangan

Harapan pengamal media untuk mengekalkan kuota khas subsidi petrol BUDI95 sebanyak 300 liter menerima perkembangan positif apabila Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, berjanji membawa perkara itu kepada Kementerian Kewangan (MoF).

Beliau mengakui tugas pengamal media yang kerap bergerak ke pelbagai lokasi bagi membuat liputan menyebabkan kuota semasa sebanyak 200 liter tidak mencukupi untuk sebahagian daripada mereka.

Menurut Fuziah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memahami cabaran yang dihadapi golongan wartawan dan mengambil serius perkara tersebut.

“KPDN mengambil berat berkenaan apa yang pengamal media hadapi kerana banyak perlu ‘travel’ dan tidak cukup 200 liter kuota.

“Tetapi BUDI95 adalah di bawah Kementerian Kewangan. Jadi, saya akan membawa perkara ini ke MoF,” katanya lapor Malaysiagazette.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Jualan Rahmah MADANI sempena pembukaan baharu Pantai Selamat Seindah di Bandar Kuantan Putri, hari ini.

Sebelum ini, pada April lalu, Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) memohon kerajaan memberikan pengecualian khas kepada pengamal media berdaftar supaya terus menikmati kuota subsidi petrol RON95 sebanyak 300 liter, sebagaimana yang diterima sebelum ini.

GKMM berpandangan sifat tugas kewartawanan yang memerlukan perjalanan jauh, liputan luar kawasan dan waktu kerja yang tidak menentu menjadikan penggunaan bahan api mereka lebih tinggi berbanding kebanyakan pengguna biasa.

Permohonan itu turut mendapat perhatian Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang sebelum ini memaklumkan bahawa isu berkenaan akan dibawa ke Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) untuk dipertimbangkan.

Menurut Fahmi, sebarang keputusan atau maklum balas mengenai permohonan tersebut akan dimaklumkan selepas perbincangan di peringkat kerajaan.

Kenyataan Fuziah yang bersedia mengangkat isu itu ke Kementerian Kewangan dilihat memberi isyarat bahawa kerajaan terus meneliti keperluan khusus pengamal media, terutama mereka yang bergantung kepada kenderaan untuk melaksanakan tugasan harian di lapangan.

BACA JUGA “Kita nim hidup, kenam ada wamwamsan. Yam petim kompidem”  – Status Zuhdi untuk siapa?