“Kita nim hidup, kenam ada wamwamsan. Yam petim kompidem”  – Status Zuhdi untuk siapa?

Satu hantaran ringkas bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Zuhdi Marzuki, mencetuskan pelbagai spekulasi di media sosial susulan pengumuman Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai penubuhan sebuah parti menggunakan nama Parti Wawasan Negara.

Perdebatan itu tercetus apabila Hamzah mengumumkan bahawa parti yang mengambil alih sebuah parti sedia ada itu akan dikenali sebagai Parti Wawasan Negara, sambil memaklumkan bahawa nama tersebut merupakan ilham Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Tidak lama selepas pengumuman berkenaan, Zuhdi memuat naik satu status ringkas berbunyi:

“Kita nim hidup, kenam ada wamwamsan. Yam petim kompidem”(Kita ini hidup, kena ada wawasan. Yang penting komited)

Walaupun ayat itu kelihatan umum, ia pantas menjadi bahan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial yang cuba mentafsir maksud tersirat di sebaliknya.

Ada yang beranggapan status tersebut sekadar kata-kata motivasi, namun tidak kurang juga yang mengaitkannya dengan perkembangan politik semasa, khususnya selepas pengumuman mengenai Parti Wawasan Negara.

Spekulasi menjadi lebih hangat apabila sebelum ini Zuhdi turut memuat naik hantaran yang dilihat mengkritik keputusan Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu, sekali gus menimbulkan pelbagai tafsiran mengenai pendiriannya terhadap perkembangan terkini dalam blok pembangkang.

Di media sosial, ada pengguna mempersoalkan sama ada kenyataan terbaharu itu merupakan sindiran halus terhadap kepimpinan Pas, memandangkan nama “Wawasan Negara” sendiri didedahkan oleh Hamzah sebagai idea yang dicetuskan oleh Abdul Hadi.

Bagaimanapun, sehingga kini Zuhdi tidak memberikan sebarang penjelasan bahawa status tersebut ditujukan kepada mana-mana individu atau berkaitan secara langsung dengan pengumuman Parti Wawasan Negara.

Justeru, segala tafsiran yang beredar di media sosial ketika ini hanyalah spekulasi pengguna, tanpa sebarang pengesahan daripada beliau sendiri.

Namun, dalam suasana politik yang semakin hangat menjelang kemungkinan pilihan raya, setiap kenyataan dan hantaran tokoh politik di media sosial kini pantas menjadi bahan analisis serta perdebatan dalam kalangan netizen.

BACA JUGA Anthony Loke ‘refresh’ memori MB Johor, senarai 7 majlis yang pernah dihadiri