Menteri KPT tak mahu jawab, hanya kongsikan respon Naib Canselor UPSI
Di sebalik polemik dakwaan kononnya terdapat penyelewengan dalam proses kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, hanya tampil berkongsi luahan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, yang menggesa semua pihak berhenti melemparkan tuduhan tanpa membantu pelajar yang memerlukan.
Menerusi hantaran di Facebook, Zambry berkata beliau berkongsi “cetusan hati” Naib Canselor UPSI susulan tindakan seorang ahli politik yang didakwanya “tak sudah-sudah mencerca dan menuduh keterlaluan.”
Walaupun tidak menamakan individu terbabit, kenyataan itu dilihat hadir ketika tercetus kontroversi selepas Exco Pendidikan Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah, mendakwa terdapat tempat di IPTA yang kononnya dijual kepada pelajar yang tidak layak.
Dakwaan tersebut mengundang pelbagai reaksi termasuk gesaan supaya bukti dikemukakan, manakala Kementerian Pengajian Tinggi dan beberapa pihak mempertahankan integriti sistem kemasukan ke IPTA.
Dalam hantaran yang dikongsikan Zambry, Md Amin berkata setiap kali musim kemasukan universiti, pelbagai tuduhan akan kembali dimainkan oleh pihak tertentu demi meraih populariti.
Menurutnya, antara dakwaan yang sering dibangkitkan ialah kononnya wujud kemasukan melalui “pintu belakang”, anak orang miskin tidak mendapat peluang belajar, golongan OKU dipinggirkan, kaum tertentu didiskriminasi dan peluang ke universiti dijual.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan mengapa pihak yang lantang mengkritik jarang tampil menawarkan penyelesaian atau bantuan kepada pelajar yang memerlukan.
“Kenapa jarang kita dengar ada pihak menaja 100 biasiswa untuk anak orang susah di IPTA?
“Kenapa tidak ada yang mewujudkan peluang belajar percuma di universiti negeri, mewakafkan asrama atau menginfakkan RM50,000 kepada Dapur Kasih Siswa IPTA?” katanya.
Beliau berpandangan bahawa lebih banyak manfaat dapat diberikan sekiranya tenaga dan pengaruh digunakan untuk membantu pelajar berbanding terus mencetuskan polemik yang boleh menghakis keyakinan masyarakat terhadap institusi pengajian tinggi awam.
Md Amin turut mengingatkan bahawa budaya saling membantu merupakan tuntutan agama dan nilai kemanusiaan.
“Bukankah tangan yang memberi lebih mulia daripada mulut yang berkata-kata?”
Beliau juga berkongsi pesanan arwah ibunya yang sentiasa menjadi pegangan hidupnya:
“Jika tak mampu mengusaha, lebih baik senyap daripada meluahkan kata-kata yang menerbitkan luka.”
Mengakhiri hantarannya, beliau mengajak semua pihak menghayati pesanan Surah Al-Asr agar sentiasa berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran, selain mengutamakan usaha membangunkan pendidikan negara daripada sekadar melemparkan tuduhan.
BACA JUGA Malaysia perlu jadi ‘orkestra’ yang harmoni – Nga Kor Ming