PN ada risiko digantung jika krisis dalaman gagal diselesaikan?
Kemelut yang melanda Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja berpotensi menggugat kerjasama antara parti komponennya, malah boleh membawa kepada risiko gabungan itu digantung operasinya sekiranya pertikaian tidak diselesaikan mengikut perlembagaan organisasi.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Terengganu, Dr Mohd Yusri Ibrahim, berkata krisis yang tercetus antara Pas dan Bersatu tidak mudah berakhir dan boleh mengundang implikasi yang lebih besar jika kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian yang menguntungkan semua.
Menurut beliau, Bersatu dijangka tidak akan mengalah dengan mudah dan berkemungkinan menggunakan sepenuhnya ruang yang tersedia dalam Perlembagaan PN bagi mempertahankan kedudukannya.
“Segala pelanggaran perlembagaan dan tatakelola pentadbiran PN oleh kepimpinan yang diterajui Pas boleh dijadikan asas untuk tindakan balas, termasuk membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
“Jika aduan itu mempunyai asas, ROS boleh menjalankan siasatan dan tidak mustahil mengambil tindakan menggantung PN sementara siasatan dijalankan sekiranya benar berlaku pelanggaran,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa pertikaian itu juga berpotensi dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan tafsiran terhadap peruntukan dalam Perlembagaan PN sekiranya wujud dakwaan pelanggaran prosedur.
“Dengan kemelut ini, PN berisiko tergantung atau digantung sehingga tidak dapat beroperasi seperti biasa. Ini antara senario paling buruk sekiranya penyelesaian menang-menang antara Pas dan Bersatu gagal dicapai,” katanya.
Dalam perkembangan sama, bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Ahmad Marzuki Mohammad, menjelaskan bahawa mana-mana parti anggota PN tidak boleh dipecat sewenang-wenangnya kerana tindakan disiplin tertakluk kepada peruntukan jelas dalam Perlembagaan gabungan itu.
Menurut beliau, berdasarkan Fasal 7A Perlembagaan PN, hanya Majlis Presiden yang dianggotai Presiden setiap parti komponen mempunyai kuasa membuat keputusan muktamad mengenai tindakan disiplin terhadap parti anggota.
Katanya lagi, keputusan tersebut hendaklah dibuat secara sebulat suara, sekali gus bermakna jika seorang Presiden tidak bersetuju, tindakan itu tidak boleh dilaksanakan.
Beliau turut menjelaskan bahawa soal pengagihan kerusi pilihan raya dan pengeluaran watikah calon juga berada di bawah bidang kuasa Majlis Presiden selepas dirujuk oleh Jawatankuasa Rundingan Kerusi.
“Keputusan Majlis Presiden mengenai ketetapan kerusi juga mesti dibuat secara sebulat suara. Tidak ada mana-mana fasal dalam Perlembagaan PN yang memberikan kuasa mutlak kepada Pengerusi PN untuk menentukan kerusi pilihan raya atau mengeluarkan watikah calon sesuka hati.
“Justeru, Bersatu tidak boleh dipecat daripada PN dengan sewenang-wenangnya dan Pengerusi PN juga tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memberikan watikah calon mengikut kehendaknya,” katanya.
Kenyataan kedua-dua tokoh itu menggambarkan bahawa kemelut dalaman PN kini bukan sekadar pertikaian politik, sebaliknya berpotensi berkembang menjadi isu perundangan dan pentadbiran yang boleh menjejaskan kelangsungan operasi gabungan tersebut sekiranya gagal ditangani secara berhemah.
BACA JUGA Ucapan Anwar jadi pilihan editor Nikkei Asia, Malaysia makin diiktiraf dalam wacana geopolitik Asia