Selangor keluar RM140 juta bila dunia bergolak – apa sebenarnya kerajaan negeri sedang buat?
Kerajaan Selangor memperuntukkan lebih RM140 juta bagi melaksanakan tujuh inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor (PPDTS) Fasa 1 sebagai langkah menghadapi ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik di Timur Tengah.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor (PPDTS) Fasa 1 di Bilik Gerakan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Aras Bawah Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam, hari ini.
“Dalam tempoh dua bulan sejak diumumkan, Unit Perancang Ekonomi Negeri bersama Pasukan Petugas Khas Krisis Bekalan Global telah merangka kaedah pelaksanaan supaya memudahkan urusan penerima, iaitu rakyat Selangor,” katanya.
Menurut beliau, keputusan melaksanakan pakej itu mengambil kira kedudukan Malaysia yang masih mampu menampan impak krisis antarabangsa hasil langkah Kerajaan Persekutuan.
“Ini berbeza dengan beberapa negara lain yang terpaksa berdepan inflasi mendadak serta kenaikan kos bahan api yang tinggi,” katanya.
Antara inisiatif utama ialah Baucar Kita Selangor, yang menyediakan bantuan RM100 sebulan selama enam bulan kepada 50,000 keluarga, dengan pembayaran bermula pada 30 Jun ini.
Kerajaan negeri turut memperkenalkan subsidi tambang pengangkutan awam sebanyak RM30 sebulan kepada 50,000 pengguna melalui aplikasi Nine bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan pergantungan kepada bahan api konvensional.
Selain itu, program Sarapan Percuma akan diperluaskan kepada 120,000 pelajar yang memerlukan di 965 sekolah di seluruh Selangor dan dibiayai oleh pihak berkuasa tempatan.
Dalam sektor agromakanan, sebanyak RM25 juta diperuntukkan bagi membantu pesawah, petani, penternak, nelayan dan pengusaha akuakultur melalui bantuan bahan api serta input pertanian.
Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM50 juta bagi mewujudkan Gudang Makanan Selangor, termasuk RM45 juta untuk pembelian stok makanan asas seperti beras, ayam, daging, ikan dan minyak masak.
Menurut Amirudin, langkah itu bertujuan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan makanan serta mengurangkan risiko gangguan bekalan dan kenaikan harga akibat krisis global.
“Cabaran yang mendatang menuntut kita sentiasa bersedia, bertindak pantas dan berpandangan jauh. Dengan semangat kebersamaan, saya yakin Selangor akan terus kekal sebagai negeri yang maju, berdaya tahan dan sejahtera untuk semua,” katanya.
BACA JUGA Peruntukan RM2 bilion, kerajaan mahu 25,000 Bumiputera benar-benar merasai