Trump gagal kawal Israel, AS terperangkap dengan raksasa ganas ciptaan sendiri

AMANAH menyifatkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kini semakin hilang kawalan terhadap Israel ketika beliau berada di ambang untuk akhirnya menandatangani perjanjian damai dengan Iran.

Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, serangan terbaharu Israel ke atas selatan Beirut membuktikan Trump sebenarnya gagal mengekang Israel walaupun sebelum ini beberapa kali memberi gambaran bahawa Washington mampu mengawal tindakan Tel Aviv.

Menurutnya, tindakan pengeboman itu dilihat sebagai usaha sengaja untuk mensabotaj rundingan damai yang sedang diusahakan antara AS dan Iran, ketika kedua-dua pihak didakwa semakin hampir mencapai satu perjanjian penting.

Katanya, situasi itu menjelaskan mengapa Iran terus skeptikal terhadap sebarang jaminan yang diberikan Trump kerana Israel dilihat berusaha keras menggagalkan sebarang penyelesaian diplomatik yang boleh menamatkan konflik berpanjangan di rantau tersebut.

“Walaupun Trump berusaha tanpa henti dan kadangkala terdesak untuk mencapai satu ‘perjanjian’ dengan Iran, dan kini semakin hampir untuk mencapainya, Israel bertindak dengan pengeboman strategik di Beirut Selatan.

“Pemindahan serangan pengeboman ke Beirut Selatan, yang sebelum ini mensasarkan selatan Lubnan, jelas merupakan usaha sengaja dan terang-terangan untuk mensabotaj serta meningkatkan konflik bagi menghalang perjanjian antara AS dan Iran daripada dicapai,” tegas Raja Bahrin dalam satu kenyataan hari ini.

Pagi tadi Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengumumkan AS dan Iran mencapai perjanjian damai serta bersetuju menamatkan operasi ketenteraan secara ‘serta-merta dan kekal’ di semua wilayah termasuk di Lubnan.

Shehbaz Sharif mengumumkan bahawa perjanjian damai itu telah dicapai dan majlis menandatangani perjanjian rasmi akan diadakan pada 19 Jun di Switzerland.

“Perjanjian damai antara Amerika Syarikat dan Republik Islam Iran telah BERJAYA DICAPAI.

“Kedua-dua pihak telah mengisytiharkan penamatan serta-merta dan kekal bagi semua operasi ketenteraan di semua medan, termasuk di Lubnan.

“Majlis menandatangani perjanjian secara rasmi akan diadakan pada Jumaat, 19 Jun di Switzerland,” katanya menerusi platform X.

Peperangan berterusan

Mengulas lanjut, Raja Bahrin menegaskan bahawa seluruh dunia kini seharusnya mengetahui pihak sebenar yang tidak bertanggungjawab dan yang lebih cenderung kepada peperangan berterusan di Timur Tengah, sehingga menyebabkan Selat Hormuz terus tertutup.

“Keadaan ini juga seharusnya mendedahkan kehilangan kawalan sepenuhnya oleh Trump terhadap tindakan agresif Israel selepas beliau didakwa terpedaya untuk bersama-sama menyerang Iran.

“Lobi Yahudi-Amerika di AS dikatakan mempunyai pengaruh yang kuat terhadap Presiden AS, bersama kewujudan fail-fail tertentu Eipstein yang didakwa berada dalam simpanan Mossad Israel,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat AS jelas dilihat tidak bersedia bertindak tegas untuk mengawal Israel, dan kesungguhan politik untuk berbuat demikian, walaupun Trump sering membuat kenyataan secara teori dan kadangkala retorik kosong mengenai usaha menamatkan peperangan.

“Jelas bahawa Trump didakwa telah diperdayai oleh Netanyahu dari Israel, yang menyeret AS ke dalam peperangan yang kononnya singkat tetapi berlarutan begitu lama, dan kini enggan membenarkan AS keluar daripada perang yang memberi kesan buruk kepada ekonomi global, yang menurut dakwaan tersebut ingin dipanjangkan menjadi peperangan berterusan,” kata Raja Bahrin lagi.

BACA JUGA Kabel projek ECRL jadi sasaran di Kelantan, kerugian cecah RM20,000