Universiti jual tempat kepada orang kaya? KPT pertimbang tindakan undang-undang

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi amaran keras terhadap dakwaan kononnya universiti awam (UA) menjual tempat kepada golongan berduit dan menerima puluhan ribu pelajar melalui “pintu belakang”, dengan memaklumkan ia sedang meneliti tindakan serta prosedur perundangan yang sesuai.

Kenyataan itu dibuat susulan beberapa tuduhan yang diulang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah ketika program Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan baru-baru ini.

Antara dakwaan yang dibangkitkan ialah UA didakwa sedang “menjual tempat-tempat untuk anak-anak kita kepada orang ada duit”, selain wujud puluhan ribu pelajar memasuki institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) melalui saluran yang disifatkannya sebagai “pintu belakang”.

Dalam kenyataan hari ini, KPT berkata pihaknya memandang serius tuduhan berkenaan kerana ia menyentuh integriti kementerian, universiti awam dan keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara.

“KPT sedang meneliti dan mempertimbangkan tindakan serta prosedur perundangan yang sewajarnya bagi mempertahankan integriti kementerian, universiti awam dan sistem pendidikan tinggi negara daripada fitnah serta tuduhan tidak berasas,” menurut kenyataan itu.

Kementerian turut menegaskan bahawa ia tidak akan membenarkan mana-mana pihak melemparkan tuduhan yang mencemarkan nama baik institusi pendidikan negara tanpa bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat.

Menurut KPT, kementerian sentiasa terbuka kepada kritikan yang membina dan berasaskan fakta, namun sebarang dakwaan yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan tinggi mestilah disokong dengan bukti yang kukuh.

“Tuduhan berkenaan bukan sahaja sangat berat, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara,” katanya.

KPT berkata kesan dakwaan sedemikian bukan hanya kepada universiti awam dan pengurusannya, malah turut melibatkan pegawai kerajaan serta ribuan pelajar yang memasuki institusi berkenaan melalui saluran kemasukan yang sah.

Pada masa sama, kementerian memaklumkan bahawa tuduhan sedemikian bukan kali pertama dibuat oleh bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, sekali gus mendorong pihaknya mempertimbangkan langkah yang sewajarnya bagi melindungi kredibiliti sistem pendidikan tinggi negara.

BACA JUGA Ucapan Anwar jadi pilihan editor Nikkei Asia, Malaysia makin diiktiraf dalam wacana geopolitik AsiaÂ