Anwar seru rakyat Johor pertahan ‘politik harapan’
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Johor supaya terus mempertahankan apa yang disifatkannya sebagai “politik harapan” yang berteraskan perpaduan, keadilan dan ihsan, berbanding kembali kepada politik lama yang sarat dengan kebencian serta salah guna kuasa.
Dalam satu ceramah di Muar, sempena Pilihan Raya Negeri Johor, beliau yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata perjuangan gabungan berkenaan tidak pernah sekadar bertujuan memenangi pilihan raya, sebaliknya menjadi medan menentukan hala tuju masa depan negara.
“Perjuangan kita tidak pernah semata soal memenangi pilihan raya. Malah, ia adalah medan penentu apakah Malaysia akan terus dipacu politik lama yang sarat dengan kebencian dan salah guna kuasa, atau bergerak ke depan sebagai tatanan yang berpaksi pada prinsip pertanggungjawaban, keadilan dan ihsan kepada rakyat terbanyak,” katanya.
Menurut Anwar, kerajaan telah membuktikan bahawa agenda yang dibawa bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan melalui usaha memperkukuh tatakelola, membanteras ketirisan serta meningkatkan pelaburan dan keyakinan antarabangsa terhadap Malaysia.
“Kita telah membuktikan bahawa apa yang didambakan itu tidak sekadar slogan. Tatakelola diperketat, ketirisan diperangi, pelaburan dipertingkat dan keyakinan dunia terhadap Malaysia memulih,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui perjalanan untuk melakukan pembaharuan masih panjang dan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.
Katanya, masih ramai rakyat yang memerlukan pembelaan, banyak suara yang perlu didengar serta pelbagai kelemahan dalam sistem yang perlu ditangani secara berterusan.
“Masih banyak yang perlu diperbetul, masih ramai rakyat yang perlu dibela dan disantuni, masih banyak suara yang perlu didengar, masih melata lompong-lompong sistem yang perlu ditutup, serta serba serbi permasalahan lain yang perlu diberi tumpuan dan diharungi bersama,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar menggesa rakyat Johor agar terus memberikan sokongan kepada politik yang menurutnya menyatukan masyarakat dan menyemai kasih sayang.
“Lantaran itu, saya menyeru bangsa Johor agar terus berdiri teguh mempertahankan politik harapan, politik yang menyatukan serta politik yang mencambah kasih sayang.
“Dengan dukungan rakyat, kita akan terus bekerja dengan lebih gigih mengangkat martabat negara dan memastikan Malaysia muncul sebagai negara yang kuat, saksama dan bermaruah,” katanya.
BACA JUGA Kisah baju koyak PMX dan Kak Wan