Keluarga B40 terima peluang miliki rumah sendiri menerusi skim MADANI
Seramai 301 keluarga berpendapatan rendah menerima surat tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Rembau Fasa 2 hari ini, sekali gus membuka laluan kepada pemilikan rumah sendiri menerusi skim Sewa-Untuk-Milik (RTO) yang diperkenalkan kerajaan.
Penyerahan surat tawaran itu disempurnakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, yang berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan golongan B40 mendapat akses kepada kediaman berkualiti dan mampu milik.
Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), projek PPR Rembau menerima 2,683 permohonan, menunjukkan permintaan tinggi terhadap perumahan mampu milik yang disediakan kerajaan.
Daripada jumlah itu, 301 penerima bagi Fasa 2 dipilih berdasarkan kriteria yang memberi keutamaan kepada golongan miskin tegar dan keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan perumahan.
Aiman Athirah berkata agenda perumahan kerajaan bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, malah bertujuan mewujudkan komuniti yang lebih sejahtera serta membantu rakyat keluar daripada kitaran kemiskinan.
“Kerajaan mahu setiap keluarga mempunyai peluang untuk menikmati kehidupan yang lebih stabil melalui kediaman yang selesa, selamat dan mampu dimiliki,” katanya pada majlis penyerahan surat tawaran di Mukim Chembong, hari ini.
PPR Rembau dibangunkan dengan kos RM91.2 juta melibatkan 452 unit rumah teres setingkat di atas kawasan seluas 39.7 ekar, termasuk empat unit khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Setiap rumah berkeluasan 700 kaki persegi dan dilengkapi pelbagai kemudahan awam seperti surau, dewan komuniti, tadika, taman permainan serta medan selera.
Menerusi skim RTO, penyewa yang layak hanya perlu membayar RM225 sebulan selain caj penyelenggaraan RM12 sebulan, sebelum berpeluang memiliki rumah berkenaan pada masa hadapan.
KPKT berkata kejayaan projek itu membuktikan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan agenda perumahan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.
BACA JUGA 3,000 Kad Komuter MADANI percuma untuk rakyat Johor