Johor lonjak pelaburan 56%, muncul hab AI serantau di bawah MADANI
Johor kini berada di barisan hadapan pembangunan ekonomi negara apabila berjaya menarik pelaburan bernilai RM110 bilion pada tahun 2025, meningkat daripada RM70.6 bilion pada tahun 2022.
Peningkatan hampir 56% dalam tempoh tiga tahun ini bukan sahaja merupakan antara pencapaian terbaik negeri itu, malah membuktikan keyakinan pelabur terhadap kestabilan ekonomi dan hala tuju pembangunan negara di bawah Kerajaan MADANI.
Kejayaan ini didorong oleh kemasukan syarikat teknologi dan pelabur global yang melihat Johor sebagai destinasi strategik untuk operasi serantau mereka.
Kedudukan negeri itu yang berhampiran Singapura, disokong pembangunan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) serta infrastruktur moden, menjadikan Johor semakin menarik dalam kalangan pelabur antarabangsa.
Antara pelaburan utama yang menjadi pemangkin pertumbuhan ialah komitmen Microsoft bernilai RM10.5 bilion dalam pembangunan teknologi awan dan kecerdasan buatan (AI).
ByteDance pula melabur sekitar RM10 bilion untuk pembangunan pusat data di Johor.
Pada masa sama, kerjasama YTL dan NVIDIA di Kulai sedang membangunkan pusat data AI bertaraf dunia yang bakal mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab teknologi masa depan.
Sektor pusat data turut berkembang pesat dengan jumlah pelaburan mencecah RM164.45 bilion. AirTrunk pula terus memperluaskan operasinya dengan pelaburan keseluruhan sekitar RM27 bilion di Johor.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa Johor bukan lagi sekadar pusat perindustrian tradisional, tetapi sedang muncul sebagai hab AI, pusat data dan teknologi paling pesat berkembang di Asia Tenggara.
Manfaat terbesar daripada lonjakan pelaburan ini sudah tentu dirasai oleh rakyat. Lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan, termasuk pekerjaan bergaji tinggi dalam bidang teknologi, AI, kejuruteraan dan ekonomi digital.
Anak muda Johor kini mempunyai lebih banyak peluang untuk membina kerjaya dalam industri masa depan.
Selain itu, syarikat tempatan turut menikmati peluang perniagaan sebagai pembekal kepada syarikat-syarikat antarabangsa yang beroperasi di negeri ini.
Hakikatnya, pelaburan tidak datang dengan sendiri. Ia hadir apabila wujud kestabilan politik, dasar yang jelas serta keyakinan pelabur terhadap masa depan negara.
Di bawah Kerajaan MADANI, Johor bukan lagi sekadar negeri perindustrian, sebaliknya sedang membina ekonomi masa depan yang mampu menjana lebih banyak pekerjaan, peluang perniagaan dan pendapatan untuk rakyat serta mengukuhkan kedudukannya sebagai hab ekonomi dan logistik utama Asia Tenggara.
BACA JUGA PRN Johor:Â bukan soal siapa paling lantang?