Krisis Pas vs Bersatu, masuk fasa perang gerila, kata pensyarah
Perikatan Nasional (PN) berdepan risiko kehilangan jenamanya sendiri sekiranya konflik antara Pas dan Bersatu gagal diselesaikan, malah tidak mustahil gabungan itu boleh berakhir dengan pembubaran jika pertikaian dibawa ke peringkat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Terengganu, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, krisis yang berlaku kini telah memasuki fasa yang disifatkannya sebagai “perang gerila”, apabila kedua-dua parti menggunakan kelebihan masing-masing dalam struktur dan perlembagaan PN.
Menurut beliau, Pas mempunyai kelebihan kerana menguasai jawatan Pengerusi dan Setiausaha Agung PN yang memberi autoriti dalam pelbagai urusan pentadbiran termasuk penandatanganan watikah calon pilihan raya.
Namun, katanya, Bersatu pula mempunyai kelebihan dari sudut pemahaman terhadap perlembagaan gabungan itu kerana menjadi pihak yang terlibat dalam merangka dokumen tersebut sejak awal penubuhan PN.
“Bersatu sangat memahami peruntukan dalam perlembagaan PN termasuk kuasa Majlis Tertinggi dan Majlis Presiden.
“Segala keputusan seperti menyingkirkan Bersatu daripada PN, menerima parti baharu sebagai anggota atau memuktamadkan senarai calon pilihan raya perlu dibuat mengikut peruntukan yang ditetapkan,” katanya.
Dr Mohd Yusri berkata, sebarang keputusan yang dianggap bercanggah atau melanggar perlembagaan PN boleh dijadikan asas oleh Bersatu untuk mencabar tindakan tersebut.
Menurutnya, antara langkah yang boleh diambil ialah mengemukakan aduan kepada ROS bagi menyiasat perjalanan dan pengurusan gabungan berkenaan.
“Jika aduan itu mempunyai asas, ROS boleh menjalankan siasatan termasuk menggantung sementara PN.
“Dalam keadaan yang lebih serius dan tiada penyelesaian dicapai, senario paling buruk ialah PN boleh dibubarkan atau pendaftarannya dibatalkan,” katanya.
Beliau berpandangan bahawa Bersatu mungkin tidak mempunyai banyak perkara untuk dipertahankan sekiranya hubungan dengan Pas terus meruncing.
“Jika mereka tidak boleh memiliki PN, mereka tidak akan membiarkan PN jatuh ke tangan pihak lain.
“Jika gagal mencapai situasi menang-menang, pilihan yang tinggal mungkin menjadi kalah-kalah. Bagi Bersatu, situasi kalah-menang bukan pilihan,” katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika hubungan antara Pas dan Bersatu terus menjadi perhatian pemerhati politik susulan pelbagai perkembangan yang menimbulkan persoalan mengenai masa depan PN sebagai gabungan pembangkang utama negara.
BACA JUGA Puteri Wangsa bukan untuk PKR, AMANAH Johor tampil nafi dakwaan serah kerusi PRN