640 biasiswa menanti, semak nama anda hari ini!

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan sebanyak 640 slot penajaan kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026, sekali gus membuka peluang kepada mereka melanjutkan pengajian di institusi terkemuka dalam dan luar negara.

Penawaran itu diumumkan hari ini sebagai sebahagian usaha memperkukuh pembangunan bakat negara dan melahirkan modal insan berprestasi tinggi selaras aspirasi Kerajaan MADANI.

Melalui penajaan berkenaan, pelajar berpeluang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang strategik dan kritikal termasuk kejuruteraan, sains dan teknologi serta sains sosial di negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Jepun, Korea Selatan, Perancis, Jerman, United Kingdom dan New Zealand.

Bagi tahun ini, JPA menawarkan empat program utama melibatkan 640 slot keseluruhannya, iaitu:

  • Program Penajaan Nasional (PPN) – 30 slot;
  • Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara (LSPM) – 200 slot;
  • Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ) – 140 slot; dan
  • Program Khas JPA-MARA (PKJM) – 270 slot.

JPA memaklumkan calon yang telah mengemukakan permohonan boleh membuat semakan keputusan secara dalam talian bermula 19 Jun 2026 jam 10 pagi sehingga 22 Jun 2026 jam 5 petang melalui sistem yang disediakan.

Menurut jabatan itu, semua penerima tajaan tahun ini akan menerima pembiayaan di bawah Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBUA) yang diperkenalkan pada Jun tahun lalu.

Skim tersebut diwujudkan bagi mengiktiraf kecemerlangan akademik selain memberi galakan kepada pelajar untuk mengekalkan prestasi terbaik sepanjang tempoh pengajian.

JPA berkata penajaan yang disediakan bukan sahaja bertujuan membantu pelajar melanjutkan pengajian, malah menjadi sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan untuk melahirkan tenaga profesional dan pemimpin masa depan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Jabatan itu turut mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya menerima tawaran penajaan tahun ini dan berharap peluang yang diberikan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin demi masa depan diri serta negara.

BACA JUGA Umno Johor belanja RM1 juta bayar iklan di platform Meta sahaja