Individu didakwa perlekeh wanita bertudung didakwa ahli majlis lantikan MCA?
Pempengaruh media sosial Adrian Lim Chee En mendedahkan seorang individu yang didakwa merupakan lantikan politik kuota MCA sebagai Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) selepas individu terbabit memuat naik hantaran yang didakwa menghina wanita Islam bertudung serta mengaitkan mereka dengan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH).
Pendedahan itu dibuat menerusi satu hantaran panjang di media sosial yang turut memaparkan tangkap layar akaun Facebook milik individu dikenali sebagai Ching Kong Lee serta profil rasmi Ahli Majlis MPPn yang menyenaraikan nama Lee Ching Kong sebagai wakil kawasan Tanjung Piai di bawah MCA.
Menurut Adrian, hantaran berkenaan memaparkan gambar beberapa wanita bertudung memakai baju PH bersama kapsyen dalam bahasa Cina yang menggesa pengundi memberikan sokongan kepada PH.
Beliau mendakwa frasa yang digunakan dalam hantaran tersebut membawa konotasi menghina dan memperlekeh wanita Islam bertudung, selain memberi gambaran negatif terhadap golongan berkenaan.
“Mana-mana individu tidak seharusnya menghina atau memperlekeh pegangan agama, termasuk cara berpakaian yang menjadi tuntutan agama,” katanya.
Adrian turut mengaitkan isu itu dengan sejarah perjuangan membolehkan anggota polis wanita beragama Islam memakai tudung ketika bertugas.
Beliau berkata usaha tersebut hanya berjaya direalisasikan sekitar awal tahun 2000-an selepas cadangan dikemukakan oleh Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu memegang portfolio Menteri Dalam Negeri.
Menurutnya, adalah tidak wajar mana-mana pihak memperlekeh wanita Islam bertudung, lebih-lebih lagi ketika umat Islam baru menyambut Maal Hijrah.
Dalam hantaran itu, Adrian mendakwa tindakan individu terbabit boleh dianggap menyentuh sensitiviti agama dan berpotensi mencetuskan ketegangan kaum serta agama.
Beliau turut mempersoalkan sama ada MCA dan pihak berkuasa tempatan akan mengambil tindakan terhadap individu berkenaan memandangkan beliau didakwa memegang jawatan awam sebagai Ahli Majlis.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Lee Ching Kong, MCA mahupun Majlis Perbandaran Pontian berhubung dakwaan yang tular di media sosial tersebut.
Isu berkenaan turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial, dengan sebahagian pihak menggesa siasatan dijalankan bagi menentukan konteks sebenar hantaran berkenaan serta sama ada ia mempunyai unsur penghinaan terhadap agama atau kaum.
Difahamkan, semakan pada portal rasmi Majlis Perbandaran Pontian menunjukkan nama Lee Ching Kong disenaraikan sebagai Ahli Majlis bagi Zon Tanjung Piai dan dikaitkan dengan MCA.
Namun, kesahihan dakwaan terhadap maksud sebenar hantaran yang menjadi pertikaian masih belum disahkan oleh pihak berkuasa.
Pihak editorial sedang berusaha berhubung dengan Majlis Daerah Pontian bagi mendapatkan respon terhadap dakwaan ini.
BACA JUGA Pembangkang sibuk jatuhkan MADANI, PMX pula sibuk angkat nama Malaysia di pentas dunia