Malaysia pecah rekod lagi, eksport tembus RM184 bilion didorong ledakan AI dunia

Eksport Malaysia melonjak ke paras tertinggi sebanyak RM184 bilion pada Mei lalu sekaligus mencatatkan pertumbuhan perdagangan terpantas dalam tempoh hampir empat tahun.

Pencapaian itu didorong oleh permintaan kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E), termasuk teknologi berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang terus berkembang di pasaran global.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah perdagangan negara meningkat 29.8 peratus tahun ke tahun kepada RM327.63 bilion, sekali gus menjadi kadar pertumbuhan terpantas dalam tempoh 44 bulan.

Menurut MITI, eksport pula melonjak 45.3 peratus kepada RM184 bilion, mengatasi rekod yang dicatatkan pada April lalu dan menandakan peningkatan selama 11 bulan berturut-turut.

“Pada masa sama, import berkembang 14.1 peratus kepada RM143.62 bilion.

“Perkembangan ini membolehkan lebihan dagangan Malaysia melebar kepada RM40.38 bilion, iaitu rekod bulanan tertinggi setakat ini serta bulan ke-73 berturut-turut negara merekodkan lebihan dagangan sejak Mei 2020,” kata MITI dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, prestasi eksport terus dipacu sektor perkilangan dan hasil galian yang masing-masing mencatat pertumbuhan dua digit.

“Barangan E&E kekal sebagai penyumbang utama eksport negara apabila meningkat sebanyak RM38 bilion kepada nilai tertinggi baharu, disokong permintaan kukuh terhadap teknologi berkaitan AI dan automotif,” menurut MITI.

Berdasarkan pecahan produk, eksport E&E melonjak 70.5 peratus kepada RM91.57 bilion dan merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan eksport negara.

Eksport keluaran petroleum pula meningkat 74.2 peratus kepada RM13.98 bilion, manakala eksport barangan optik dan saintifik bertambah 45 peratus kepada RM7.31 bilion.

Dari segi pasaran, semua rakan dagang utama Malaysia merekodkan pertumbuhan dua digit termasuk ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU).

Sementara itu, eksport ke Taiwan dan EU turut mencatat nilai tertinggi baharu.

Bagi eksport ke AS, ia mencatat pertumbuhan paling ketara apabila melonjak 97.7 peratus kepada RM36.93 bilion berbanding Mei tahun lalu, disokong peningkatan penghantaran produk E&E.

Sepanjang tempoh Januari hingga Mei 2026, perdagangan Malaysia meningkat 18.3 peratus kepada RM1.455 trilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Eksport berkembang 24.3 peratus kepada RM793.84 bilion manakala import naik 11.8 peratus kepada RM661.07 bilion.

Prestasi itu menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM132.77 bilion, dengan perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatat rekod tertinggi bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

MITI menambah walaupun landskap perdagangan global masih berdepan ketidaktentuan, Malaysia kekal berdaya tahan dengan sektor E&E terus menjadi pemacu utama pertumbuhan perdagangan negara.

BACA JUGA Umno Johor belanja RM1 juta bayar iklan di platform Meta sahaja