Selangor umum pakej RM355.06 juta hadapi tempias krisis global

Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai RM355.06 juta bagi melindungi rakyat dan ekonomi negeri daripada kesan ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat serta gangguan rantaian bekalan dunia.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pakej berkenaan dirangka selepas kerajaan negeri meneliti pelbagai risiko yang boleh memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat, keterjaminan makanan serta aktiviti ekonomi negeri.

Ketika membentangkan pakej itu pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini, beliau berkata konflik yang tercetus di Asia Barat telah menyebabkan gangguan bekalan tenaga global dan meningkatkan risiko kenaikan harga makanan serta kos logistik.

Menurutnya, Selangor perlu bersiap siaga memandangkan negeri itu menyumbang 26.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan sebarang gangguan ekonomi akan memberi kesan langsung kepada negara.

Beliau berkata kerajaan negeri telah mengadakan Sidang Meja Bulat Khas MMKN sejak April lalu yang menghimpunkan pakar ekonomi, geopolitik dan tenaga bagi merangka langkah kesiapsiagaan menghadapi krisis tersebut.

Hasil perbincangan itu, katanya, kerajaan negeri melaksanakan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor menerusi dua fasa yang merangkumi keseluruhan 21 inisiatif.

Amirudin berkata Fasa 1 memberi tumpuan kepada aspek keterjaminan makanan, bantuan kos sara hidup, pengangkutan awam, kebajikan pelajar dan sokongan kepada sektor pertanian.

Antara program utama yang sedang dilaksanakan ialah Gudang Makanan Selangor, Jelajah Ehsan Rahmah, Baucar Kita Selangor, makanan percuma pelajar sekolah dan bantuan kepada sektor pertanian.

Beliau berkata Fasa 2 pula memberi fokus kepada perlindungan pekerjaan, sokongan kepada usahawan, bantuan perumahan, pendidikan serta pembangunan modal insan.

Langkah itu termasuk pengurangan kadar sewa premis PBT, pembiayaan usahawan, moratorium sewa rumah, moratorium pinjaman perumahan, biasiswa pendidikan dan pelbagai program peningkatan kemahiran.

Menurut Amirudin, sebanyak RM145.8 juta diperuntukkan bagi Fasa 1 manakala RM209.26 juta diperuntukkan bagi Fasa 2.

“Ini membawa peruntukan keseluruhan untuk Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bagi Fasa 1 dan Fasa 2 sebanyak RM355.06 juta,” katanya ketika membentangkan pakej tersebut.

Beliau berkata pakej itu bukan sekadar bantuan jangka pendek, sebaliknya bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi negeri dan memastikan manfaat pembangunan dapat terus dinikmati rakyat dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu.

BACA JUGA Kantoi edit ‘screenshot’, dakwaan Lim Sian See terhadap DAP rupanya ‘kosong’