Tak peduli gencatan, Israel bedil Lubnan lagi
Harapan bahawa konflik di Asia Barat akan mereda selepas termeterainya persefahaman baharu melibatkan Amerika Syarikat dan Iran tidak bertahan lama apabila Israel melancarkan siri serangan udara dan bedilan artileri ke atas selatan Lubnan awal pagi Jumaat.
Sekurang-kurangnya 16 orang dilaporkan terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam serangan yang menyasarkan bandar Nabatieh dan kawasan sekitarnya, menurut Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA).
Serangan itu berlaku hanya beberapa jam selepas berkuat kuasanya Memorandum Persefahaman Islamabad yang ditandatangani secara elektronik oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian.
Perjanjian berkenaan antara lain bertujuan membuka laluan kepada rundingan baharu antara Washington dan Tehran serta menghentikan serangan Israel ke atas Lubnan.
Bagaimanapun, laporan NNA menyebut beberapa bandar dan kampung di daerah Nabatieh menjadi sasaran serangan selepas tengah malam, termasuk Al-Sharqiyah, Harouf dan Kfar Sir.
Menurut agensi itu, beberapa rumah penduduk musnah dalam serangan berkenaan, menyebabkan korban jiwa serta sejumlah penduduk masih dilaporkan hilang di bawah runtuhan.
Sekitar jam 2.10 pagi, pesawat pejuang Israel dilaporkan melancarkan beberapa siri serangan ke atas Nabatieh, Kfar Tebnit, Nabatieh al-Fawqa dan kawasan tanah tinggi Rayhan.
Kurang sejam kemudian, serangan udara lain menyasarkan kawasan Kfarjoz-Nabatieh, kejiranan universiti di Nabatieh serta kawasan Al-Baydar di Harouf.
NNA melaporkan sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dalam gelombang serangan tersebut.
Satu lagi serangan di kawasan Al-Ashamiya antara Al-Sharqiyah dan Doueir memusnahkan sebuah rumah dan mengorbankan empat penduduk.
Menjelang subuh, sebuah dron Israel pula dilaporkan menyerang sebuah motosikal berhampiran bangunan perbandaran Doueir, menyebabkan seorang maut dan seorang lagi cedera.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan memorandum yang diumumkan Washington dan Tehran untuk meredakan ketegangan serantau.
Di bawah memorandum tersebut, Amerika Syarikat dan Iran dijadual mengadakan rundingan selama 60 hari bagi mencari penyelesaian berkaitan program nuklear Tehran dan sekatan antarabangsa yang dikenakan terhadap republik itu.
Sejak Israel melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran ke atas Lubnan pada Mac lalu, hampir 4,000 orang dilaporkan terbunuh manakala lebih 11,000 cedera.
Menurut angka rasmi Lubnan, lebih sejuta penduduk turut kehilangan tempat tinggal akibat konflik yang berterusan.
Walaupun tekanan antarabangsa semakin meningkat, Israel masih mengekalkan kehadiran tenteranya di beberapa kawasan selatan Lubnan, termasuk wilayah yang telah diduduki sejak beberapa dekad lalu.
Semasa konflik terbaharu, tentera Israel dilaporkan mara lebih 10 kilometer ke dalam wilayah Lubnan sebelum pertempuran kembali memuncak dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
BACA JUGA Selangor umum pakej RM355.06 juta hadapi tempias krisis global