Ura-ura ada kerjasama dengan Umno di Johor, Bersatu saran Pas tinggalkan PN
Bersatu mencadangkan Pas meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan membentuk gabungan politik baharu sekiranya parti itu benar-benar mahu bekerjasama dengan Umno atau tidak lagi komited kepada jenama gabungan berkenaan.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berkata langkah itu lebih wajar berbanding terus berada dalam PN tetapi mengambil tindakan yang didakwa menjejaskan kepentingan serta semangat setiakawan antara parti komponen.
Menurutnya, Pas mempunyai kekuatan tersendiri sebagai parti politik besar dengan sumber kewangan, keahlian dan jentera yang kukuh untuk bergerak secara solo atau membentuk pakatan baharu.
“Sebab itu, sejak awal lagi saya berpandangan daripada terus menerus cuba memaksakan kehendak Pas yang menjejaskan semangat setiakawan, permuafakatan dan kepentingan PN, lebih wajar Pas bergerak solo atau membentuk Muafakat Nasional bersama Umno seperti yang sering diulang-ulang oleh pemimpinnya.
“Pas juga boleh membentuk parti gabungan baharu bersama parti Wawasan yang masih belum diluluskan namanya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tun Faisal mendakwa Pas sejak kebelakangan ini menunjukkan tanda-tanda tidak lagi memberikan komitmen penuh kepada jenama PN, termasuk terlibat dalam beberapa rundingan politik yang didakwanya membelakangkan gabungan itu.
Beliau turut membangkitkan dakwaan mengenai Langkah Bangko serta pertemuan-pertemuan tertentu yang dikatakan berlaku tanpa pengetahuan Bersatu.
Menurutnya, Pas juga tidak menunjukkan kesetiaan kepada identiti PN di negeri-negeri yang ditadbir parti itu apabila lebih cenderung menggunakan logo sendiri berbanding lambang gabungan.
“Di Kelantan dan Terengganu, Pas menggunakan logo parti sendiri. Di Johor pula, Pesuruhjaya Pas negeri baru-baru ini mengumumkan hasrat untuk bertanding menggunakan logo Pas,” katanya.
Tun Faisal turut mempersoalkan keputusan Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu ketika PN sedang membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.
Katanya, tindakan tersebut bercanggah dengan kepentingan gabungan kerana Bersatu merupakan antara parti teras PN dan salah satu parti Melayu-Islam terbesar dalam pakatan itu.
Beliau juga mengkritik kepimpinan PN yang didakwanya lambat membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang.
Dalam pada itu, Tun Faisal membangkitkan khabar angin mengenai kemungkinan wujud rundingan antara Pas dan Umno menjelang PRN Johor.
“Jika benar khabar-khabar angin bahawa Pas telah ada rundingan dengan Umno, dan bahawa Pas tidak akan bertanding dalam PRN Johor serta akan ditawarkan kerusi ADUN lantikan selepas PRN Johor, maka bukankah lebih baik dan lebih wajar Pas secara sukarela meninggalkan PN dan bersama Umno dalam Muafakat Nasional?
“Jika khabar-khabar angin ini benar, tidak wajar untuk Pas terus mempengerusikan PN. Bukankah itu lebih baik daripada Pas dilihat cuba mensabotaj Bersatu, PN dan parti-parti lain yang mahu bersama PN?” katanya.
Setakat ini, pimpinan Pas belum memberikan sebarang maklum balas terhadap kenyataan Tun Faisal itu.
BACA JUGA Malaysia pecah rekod lagi, eksport tembus RM184 bilion didorong ledakan AI dunia