Tolak monopoli kuasa bermula di Johor
OLEH AHMAD MURSI
BN Johor bubar DUN dalam keadaan sudah stabil ada majoriti 2/3. Dipilih waktu ini untuk memonopoli kuasa dengan sasaran tidak ramai pengundi luar balik mengundi.
Jika strategi ini berjaya, ia akan dijadikan momentum untuk mengembalikan dominasi kuasa di peringkat Persekutuan.
Ahli sejarah mengingatkan: “Power tends to corrupt, and absolute power corrupts absolutely.”
Maksudnya, kuasa cenderung merosakkan. Kuasa yang terlalu mutlak pula boleh merosakkan sepenuhnya.
Ini yang berlaku kepada Najib dan 1MDB, pada zaman kuasa dimonopoli selama 60 tahun. Pada masa itu, dirasakan mustahil untuk BN tumbang.
Lebih RM2.6 bilion wang yang dipinjam atas nama negara akhirnya mengalir ke akaun peribadi dan menjadi antara skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara.
Sepatutnya tunjuklah penyesalan, tetapi yang diajar: “malu apa bossku”. Curi berbilion tak perlu malu. Kalau curi susu formula bayi, baru kena malu.
Jadi, momentum dominasi dan korupsi inilah yang perlu dihentikan di Johor supaya tidak meleret ke kerajaan Persekutuan.
Lebih tiga tahun Kerajaan Perpaduan Madani membuktikan bahawa perkongsian kuasa boleh mewujudkan kestabilan politik, keyakinan pelabur dan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik.
Formula Perpaduan patut dimulakan di Johor untuk menghalang segelintir kelompok memanipulasi kekayaan negeri bagi tujuan peribadi.
Oleh sebab itu, wajar jika pengundi tidak menjadikan BN terlalu kuat, tetapi tidak juga menjadikan PH terlalu lemah.
Johor perlukan kerajaan yang kuat untuk mentadbir, tetapi tidak terlalu kuat sehingga tiada siapa mampu menegur.
Tolak monopoli kuasa, bina Perpaduan, pertahankan semak dan imbang.