ANALISIS | Trump mahu untungkan Amerika, kenapa seluruh dunia pula terasa tempiasnya?

Dasar ekonomi dan geopolitik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump didakwa bukan sahaja memperlahankan pertumbuhan ekonomi global, malah berpotensi menghakis dominasi dolar AS yang selama ini menjadi tunjang sistem kewangan antarabangsa.

Ahli ekonomi terkenal, Jomo Kwame Sundaram dan Nurina Malek berkata, dasar yang diperkenalkan di bawah pentadbiran kedua Trump bukan sekadar mencetuskan ketidaktentuan pasaran, malah meningkatkan risiko dunia berdepan episod stagflasi pertama dalam hampir setengah abad.

Menurut mereka, walaupun slogan “Make America Great Again” (MAGA) bertujuan mengukuhkan kedudukan AS, beberapa kesan sampingan yang tidak dijangka kini mula dirasai di seluruh dunia.

“Antaranya ialah melemahkan dominasi dolar dan mendorong stagflasi global,” kata mereka dalam satu analisis yang diterbitkan oleh Inter Press Service (IPS).

Menurut analisis itu, kedudukan istimewa dolar bermula selepas Persidangan Bretton Woods pada 1944 apabila mata wang AS dijadikan asas sistem kewangan antarabangsa pasca Perang Dunia Kedua.

Keadaan itu memberi kelebihan besar kepada Washington kerana kerajaan AS boleh membiayai import dan defisit fiskalnya menggunakan mata wang sendiri, manakala bank-bank pusat seluruh dunia menyimpan bon Perbendaharaan AS sebagai rizab rasmi.

Bagaimanapun, keadaan tersebut semakin berubah apabila banyak negara mula mempelbagaikan aset rizab mereka.

Menurut Jomo dan Nurina, pegangan emas oleh bank-bank pusat dunia kini meningkat dengan ketara, malah buat pertama kali dalam abad ini, pegangan emas bank pusat bukan AS telah mengatasi pegangan bon Perbendaharaan AS.

Trend itu dilihat sebagai petanda keyakinan terhadap dolar tidak lagi sekuat dahulu.

Mereka berkata, semakin banyak transaksi antarabangsa kini dilakukan menggunakan mata wang lain termasuk euro, renminbi China dan pelbagai mekanisme pembayaran alternatif yang dipelopori negara-negara BRICS.

Perkembangan itu berlaku ketika Washington semakin kerap menggunakan instrumen kewangan sebagai alat tekanan geopolitik terhadap negara lain.

“Apabila sekutu lama turut menerima tekanan daripada Washington, banyak negara mula mengurangkan kebergantungan kepada sistem kewangan berasaskan dolar,” katanya.

Trump 2.0 dan risiko stagflasi

Penulis turut berhujah bahawa gabungan perang perdagangan, ketegangan geopolitik, peningkatan hutang AS serta ketidaktentuan dasar Rumah Putih memberi tekanan kepada ekonomi global.

Pada masa sama, usaha Trump untuk menurunkan kadar faedah dan melemahkan dolar dilihat bertentangan dengan realiti semasa apabila inflasi masih tinggi dan kadar pasaran terus meningkat.

Keadaan itu, menurut mereka, boleh mewujudkan kombinasi berbahaya antara pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan inflasi yang tinggi atau lebih dikenali sebagai stagflasi.

“Dasar-dasar Trump telah memperlahankan ekonomi dunia termasuk ekonomi AS sendiri,” kata mereka.

Mereka turut berpendapat konflik berterusan di Timur Tengah, khususnya melibatkan Iran, hanya akan memburukkan lagi ketidakstabilan ekonomi global.

Jomo dan Nurina berpandangan dunia kini sedang bergerak ke arah sistem kewangan yang lebih pelbagai dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada dolar AS.

Menurut mereka, proses itu mungkin berlaku secara beransur-ansur, namun tanda-tanda perubahan sudah semakin jelas apabila negara-negara mula meningkatkan pegangan emas serta mencari alternatif kepada sistem kewangan yang selama ini didominasi Washington.

“Buat pertama kali dalam beberapa dekad, dominasi dolar tidak lagi kelihatan kebal daripada kesilapan dasar Amerika Syarikat,” kata mereka.

BACA JUGA Diesel RM2.10 bukti Anwar dengar denyut nadi rakyatÂ