Malaysia naik 17 anak tangga bawah Anwar, rekod terbaik berbanding dua PM terdahulu
Malaysia mencatat lonjakan terbesar dalam Indeks Daya Saing Dunia (IMD World Competitiveness Ranking) sepanjang lima tahun pertama pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berbanding dua pentadbiran terdahulu, menurut satu infografik yang dikongsikan badan pemikir ISLAH.
Berdasarkan data yang dipetik daripada Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD), Malaysia berada di kedudukan ke-32 ketika Anwar mengambil alih pentadbiran pada 2022 sebelum meningkat kepada tangga ke-15 pada 2026.
Peningkatan sebanyak 17 anak tangga itu mengatasi rekod yang dicatatkan semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak dalam tempoh lima tahun pertama masing-masing.
Menurut infografik berkenaan, Malaysia berada di kedudukan ke-12 pada tahun 1990 ketika era awal pentadbiran Mahathir dan meningkat ke tangga ke-10 pada 1994, iaitu kenaikan dua anak tangga.
Semasa pentadbiran Najib pula, kedudukan Malaysia meningkat daripada tangga ke-18 pada 2009 kepada tangga ke-15 pada 2013, membabitkan peningkatan tiga anak tangga.
ISLAH dalam kenyataannya berkata pencapaian sesebuah negara tidak boleh diukur melalui retorik semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan hasil yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Pencapaian sesebuah negara tidak diukur melalui retorik, tetapi melalui hasil yang diiktiraf dunia.
“Dalam tempoh lima tahun pertama pentadbiran, Malaysia mencatat peningkatan 17 anak tangga dalam IMD World Competitiveness Ranking, lonjakan terbesar berbanding dua tempoh pentadbiran terdahulu,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, badan pemikir tersebut menegaskan bahawa peningkatan daya saing negara bukan hasil usaha mana-mana individu semata-mata.
Sebaliknya, pencapaian itu lahir daripada kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, penjawat awam dan rakyat yang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negara.
“Daya saing bukan milik mana-mana individu semata-mata. Ia lahir daripada usaha berterusan kerajaan, sektor swasta, penjawat awam dan rakyat yang bersama-sama membina negara,” katanya.
IMD World Competitiveness Ranking merupakan antara penanda aras antarabangsa yang digunakan untuk mengukur tahap daya saing sesebuah ekonomi berdasarkan faktor seperti prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur.
Kedudukan Malaysia dalam ranking tersebut melonjak 11 anak tangga daripada tangga ke-34 pada 2024 kepada tangga ke-23 pada 2025 sebelum mencatat peningkatan lanjut ke tangga ke-15 pada tahun ini.
BACA JUGA Diesel RM2.10 bukti Anwar dengar denyut nadi rakyatÂ