Shuttle Selatan guna diesel, rupanya ada sebab yang ramai tak tahu?
Keputusan kerajaan menggunakan tren diesel bagi perkhidmatan Shuttle Selatan mengundang persoalan dalam kalangan pengguna yang tertanya-tanya mengapa laluan baharu itu tidak terus menggunakan tren elektrik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata keputusan tersebut dibuat berdasarkan pertimbangan praktikal bagi memastikan rakyat dapat menikmati kemudahan pengangkutan awam tanpa perlu menunggu beberapa tahun lagi.
Menurut beliau, apabila projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru siap sepenuhnya, perkhidmatan tren elektrik ETS akan mengambil alih laluan berkenaan.
Keadaan itu menyebabkan tren diesel yang sebelum ini digunakan di laluan tersebut tidak lagi diperlukan.
“Kita mempunyai dua pilihan. Sama ada menunggu dua hingga tiga tahun untuk ketibaan tren Electric Multiple Unit (EMU) baharu atau menggunakan tren diesel sedia ada yang masih boleh berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Menurut Loke, Kementerian Pengangkutan (MOT) memilih pilihan kedua kerana manfaat kepada rakyat tidak seharusnya ditangguhkan hanya kerana menunggu aset baharu tiba.
Hasil keputusan itu, perkhidmatan Shuttle Selatan kini menawarkan perjalanan lebih pantas antara Kulai dan JB Sentral dengan tempoh perjalanan sekitar 30 hingga 40 minit.
Selain itu, laluan Kempas Baru–Pasir Gudang yang sebelum ini digunakan khusus untuk perkhidmatan kargo turut dibuka kepada penumpang buat kali pertama.
Langkah tersebut dilihat mampu memperluaskan akses pengangkutan awam kepada penduduk setempat selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan perindustrian dan penempatan yang semakin pesat berkembang.
Loke berkata, walaupun menggunakan tren diesel, kerajaan tetap menyediakan subsidi operasi yang dianggarkan antara RM11 juta hingga RM15 juta setahun bagi memastikan tambang kekal mampu dibayar rakyat.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan kerajaan adalah menggunakan aset yang masih berfungsi dan memberi manfaat kepada rakyat sementara menunggu ketibaan tren EMU baharu pada masa akan datang.
Perkhidmatan Shuttle Selatan merupakan antara inisiatif terbaru MOT untuk meningkatkan jaringan pengangkutan rel di Johor, khususnya bagi pengguna yang berulang-alik ke pusat bandar Johor Bahru dan kawasan sekitarnya.
Bagi kerajaan, kata Loke, keutamaan ketika ini ialah memastikan kemudahan yang tersedia dapat dimanfaatkan segera oleh rakyat, berbanding menangguhkan perkhidmatan sehingga aset baharu siap sepenuhnya.
BACA JUGA Tokoh kemerdekaan Timor-Leste meninggal dunia, Anwar zahir takziah