Tokoh kemerdekaan Timor-Leste meninggal dunia, Anwar zahir takziah
Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan takziah atas pemergian bekas Presiden Timor-Leste, Francisco Guterres, yang disifatkannya sebagai antara tokoh penting dalam perjuangan kemerdekaan negara itu.
Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia turut berkabung bersama rakyat Timor-Leste atas kehilangan pemimpin yang banyak berjasa dalam membina negara tersebut selepas mencapai kemerdekaan.
“Saya berdukacita atas pemergian bekas Presiden Timor-Leste, Francisco Guterres.
“Bagi pihak Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga beliau dan seluruh rakyat Timor-Leste,” katanya.
Francisco Guterres, yang lebih dikenali dengan nama perjuangannya, Lú-Olo, merupakan antara generasi pejuang yang memainkan peranan penting dalam usaha membebaskan Timor-Leste daripada penjajahan sebelum negara itu mencapai kemerdekaan pada 2002.
Menurut Anwar, Guterres menghabiskan bertahun-tahun dalam gerakan penentangan dan kemudiannya meneruskan khidmat kepada negara sebagai Presiden Parlimen Nasional serta Presiden Timor-Leste.
“Sepanjang perjalanan itu, beliau kekal komited terhadap kebebasan rakyatnya dan pembinaan sebuah negara yang demokratik,” katanya.
Anwar berkata jasa dan sumbangan Guterres bukan sahaja dihargai rakyat Timor-Leste, malah turut dikenang oleh masyarakat antarabangsa yang mengikuti perjuangan negara itu menuju kemerdekaan.
“Malaysia berkabung atas pemergiannya bersama rakyat Timor-Leste.
“Beliau akan sentiasa dikenang di negara ini dengan penuh hormat dan kasih sayang,” katanya.
Guterres berkhidmat sebagai Presiden Timor-Leste dari 2017 hingga 2022 dan merupakan antara tokoh utama parti Fretilin yang memimpin perjuangan kemerdekaan negara tersebut.
BACA JUGA Malaysia naik 17 anak tangga bawah Anwar, rekod terbaik berbanding dua PM terdahulu