Anwar dedah ‘nombor’ sebenar dana pusat untuk Johor 

Data yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membetulkan tanggapan bahawa Johor tidak menerima pulangan yang setimpal daripada kerajaan persekutuan, dengan mendedahkan negeri itu sebenarnya menerima peruntukan melebihi hasil yang disumbangkannya kepada Putrajaya sejak tiga tahun lalu.

Menurut beliau, berdasarkan rekod Kementerian Kewangan, Johor menyumbang kira-kira RM14 bilion hasil kepada kerajaan persekutuan bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Namun, katanya, kerajaan persekutuan menyalurkan semula kira-kira RM16 bilion kepada negeri itu menerusi pelbagai projek pembangunan, perbelanjaan pengurusan dan program berkaitan.

“Berdasarkan rekod Kementerian Kewangan, hasil Persekutuan yang dikutip dari Johor bagi 2023 hingga 2025 berjumlah RM14 bilion.

“Berapa kita beri balik melalui pelbagai projek, pengurusan dan pembangunan keseluruhannya? Sejumlah RM16 bilion untuk negeri Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, malam tadi.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata fakta berkenaan perlu dijelaskan bagi memberikan gambaran sebenar mengenai komitmen kerajaan persekutuan terhadap pembangunan Johor.

Beliau turut membandingkan jumlah perbelanjaan mengurus yang diterima Johor di bawah pentadbiran terdahulu dengan kerajaan MADANI ketika ini.

Menurutnya, ketika pentadbiran sebelum ini, Johor menerima peruntukan perbelanjaan mengurus sekitar RM6 bilion hingga RM7 bilion setahun.

“Sekarang ini jumlahnya meningkat kepada RM8.7 bilion,” katanya.

Anwar berkata peningkatan peruntukan itu membuktikan komitmen kerajaan persekutuan untuk memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Johor terus menjadi keutamaan.

Menerusi data yang dibentangkan beliau, Johor bagi tahun 2026 disenaraikan sebagai penerima peruntukan Perbelanjaan Mengurus (OE) dan Perbelanjaan Pembangunan (DE) ketiga terbesar di negara ini selepas Sabah dan Sarawak.

Peruntukan OE kepada Johor meningkat daripada RM7 bilion pada 2022 kepada RM8.7 bilion pada 2026, manakala DE meningkat daripada RM2.3 bilion kepada RM4.8 bilion dalam tempoh sama.

Selain itu, Johor turut direkodkan sebagai negeri kedua terbesar menerima bantuan di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) selepas Selangor.

Pendedahan itu dibuat ketika isu hubungan kewangan antara kerajaan persekutuan dan Johor kembali menjadi perhatian menjelang PRN negeri itu, dengan beberapa pihak mempertikaikan jumlah peruntukan yang diterima Johor berbanding sumbangannya kepada hasil negara.

BACA JUGA Nurul Izzah suntik semangat calon PKR hadapi PRN Johor