Nurul Izzah suntik semangat calon PKR hadapi PRN Johor

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyuntik semangat juang dan kesiapsiagaan calon-calon parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menerusi sesi taklimat bersama barisan bakal calon.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Farhan Fauzi selepas menghadiri sesi pertemuan bersama calon-calon PKR yang diadakan semalam.

Menurut Farhan, taklimat yang disampaikan Nurul Izzah berjaya meningkatkan keyakinan dan motivasi calon-calon untuk mengharungi medan pilihan raya.

“Alhamdulillah, semalam telah selesai sesi pertemuan bersama calon-calon PKR bagi Pilihan Raya Negeri Johor.

“Sesi taklimat yang disampaikan oleh Timbalan Presiden, Saudari Nurul Izzah Anwar telah menyuntik semangat juang dan kesiapsiagaan yang tinggi dalam kalangan calon-calon PKR,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Turut hadir dalam sesi berkenaan ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, Datuk Dr Zaliha Mustafa serta beberapa pimpinan parti yang lain.

Farhan berkata, beliau turut menyaksikan calon-calon melafazkan ikrar dan menandatangani borang aku janji sebagai simbol komitmen mereka untuk membawa perjuangan parti dan berkhidmat kepada rakyat.

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa setiap calon yang dipilih mampu menjadi suara rakyat dan menterjemahkan gagasan keadilan di Johor.

“Berbekalkan mandat serta kepercayaan yang diberikan oleh pimpinan parti, saya menaruh keyakinan penuh bahawa setiap calon yang diketengahkan mampu membawa suara rakyat dan menterjemahkan gagasan keadilan di bumi Johor Darul Takzim,” katanya.

Farhan menyeru seluruh jentera dan penyokong parti agar terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan Pakatan Harapan pada PRN Johor.

BACA JUGA PH tampil 12 calon wanita di Johor, ini sebab pentingnya kehadiran lebih ramai kaum Hawa