Bocor 1 bilion liter setahun, MyKad untuk tutup ruang ketirisan diesel

Kerajaan menjangkakan pelaksanaan subsidi diesel bersasar menerusi sistem pengesahan menggunakan MyKad mampu mengurangkan ketirisan sehingga 1 bilion liter diesel setahun, sekali gus menjimatkan perbelanjaan subsidi negara dan memastikan bekalan bahan api lebih stabil.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ketirisan subsidi sebelum ini banyak berlaku dalam sektor diesel kerana mekanisme pengesahan identiti pengguna tidak dilaksanakan secara menyeluruh seperti yang diamalkan bagi petrol RON95.

Menurut beliau, penggunaan MyKad akan memastikan hanya warganegara yang layak dapat menikmati subsidi, manakala bukan warganegara perlu membeli bahan api pada harga pasaran.

“Anggaran kita ialah dapat mengurangkan ketirisan sebanyak satu bilion liter diesel setahun. Ini bukan sahaja mengurangkan pembayaran subsidi yang tidak sepatutnya, malah membantu menjamin kestabilan bekalan dalam negara,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Media Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II Sabah yang juga Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Amir Hamzah berkata, pelaksanaan subsidi diesel bersasar akan menggunakan pendekatan sama seperti mekanisme subsidi bersasar RON95 yang akan dilaksanakan di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Mengulas mengenai proses pendaftaran, beliau berkata rakyat yang layak menerima subsidi asas tidak perlu membuat permohonan kerana kelayakan mereka akan dikenal pasti secara automatik melalui sistem sedia ada.

Bagaimanapun, individu yang memerlukan kuota tambahan sebanyak 100 liter sebulan di bawah program BUDI Diesel perlu mengemukakan permohonan menerusi portal yang disediakan atau mendapatkan bantuan di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Untuk kuota tambahan 100 liter itu, mereka perlu membuat permohonan. Pegawai LHDN akan membantu proses pendaftaran bagi mendapatkan kelayakan tambahan tersebut,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa penggunaan MyKad tidak akan menimbulkan masalah besar, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman, memandangkan kaedah sama telah digunakan secara meluas menerusi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Menurutnya, di Sabah sahaja terdapat kira-kira 1,493 premis yang terlibat dalam pelaksanaan SARA, termasuk di kawasan pedalaman, dengan kadar penggunaan penerima manfaat mencecah hampir 100 peratus.

Katanya, pengalaman pelaksanaan SARA membuktikan penggunaan MyKad sebagai medium pengesahan dan penebusan bantuan diterima baik oleh rakyat, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, kerajaan akan terus mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak bagi memastikan pelaksanaan subsidi diesel bersasar berjalan lancar serta mencapai matlamat utamanya tanpa menjejaskan golongan yang layak menerima bantuan.

BACA JUGA “Saya PM, bukan angguk-angguk sahaja!” – Anwar