“Saya PM, bukan angguk-angguk sahaja!” – Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau bukan seorang pemimpin yang hanya mengangguk dan menerima segala pandangan tanpa memberikan pandangan balas, termasuk dalam hubungannya dengan Raja-Raja Melayu.

Ketika menyentuh isu hubungan dengan institusi diraja, Anwar berkata beliau sentiasa menghormati pandangan dan nasihat Raja-Raja Melayu, namun sebagai Perdana Menteri, beliau juga mempunyai tanggungjawab untuk menyuarakan pendirian kerajaan.

“Saya dengar nasihat, saya berbincang dan bertukar pandangan.

“Saya bukan pergi depan, angguk, angguk, angguk. Saya Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada program kempen Pakatan Harapan (PH) di Johor.

Menurut beliau, hubungan antara kerajaan dan institusi diraja perlu dibina atas asas saling menghormati serta perbincangan yang sihat, selaras dengan semangat demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Hormat raja, tetapi ada peranan masing-masing

Anwar berkata, setiap pihak mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri dalam sistem negara.

“Kalau baginda beri pandangan atau nasihat, saya terima dengan baik. Saya berbincang, saya beri pandangan dan saya dengar nasihat.

“Itu tidak salah dalam sistem kita,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa hubungan baiknya dengan Raja-Raja Melayu, termasuk Pemangku Sultan Johor, tidak seharusnya dipolitikkan.

Menurut Anwar, ada pihak cuba mengaitkan institusi diraja dengan persaingan politik, sedangkan pilihan raya sepatutnya menjadi medan pertandingan idea dan dasar antara parti-parti politik.

Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menggunakan nama raja dan sultan bagi kepentingan politik.

“Biarlah pilihan raya ini menjadi pilihan raya antara parti-parti politik.

“Jangan kaitkan institusi diraja. Tidak wajar dalam sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan,” katanya.

Anwar berkata, walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam politik, semua pihak perlu menghormati batas-batas yang ditetapkan oleh Perlembagaan dan mengelakkan institusi diraja daripada dijadikan bahan kempen.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya sentiasa terbuka menerima kritikan dan pandangan daripada pelbagai pihak, termasuk dalam kalangan anggota kabinet sendiri.

“Saya dengar pandangan semua pihak. Tidak kira daripada parti mana sekali pun, yang penting ialah kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

BACA JUGA Dr Maszlee sedia terima debat dengan Onn