Dr Maszlee sedia terima debat dengan Onn

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik menyatakan kesediaannya untuk menerima pelawaan debat bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal berlangsung bulan depan.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, beliau menerima cabaran tersebut dengan penuh rasa hormat dan rendah diri berlandaskan prinsip demokrasi yang sihat serta budaya politik matang.

Menurutnya, ruang debat atau dialog terbuka seperti itu perlu dimanfaatkan sebagai platform untuk mendidik rakyat, membolehkan pengundi menilai idea serta hala tuju yang ditawarkan oleh setiap pihak yang bertanding.

“Debat Perdana Johor?

“Ramai yang telah menghubungi saya berkenaan pelawaan debat dengan YAB Dato Onn Hafiz menjelang PRN Johor.

“Dengan segala rasa rendah diri dan hormat, serta berpijak di atas latar dan prinsip demokrasi, saya MENERIMA pelawaan atau cabaran ini.

“Insya-Allah kita bersama-sama menjadikan ruang debat/ dialog ini sebagai wahana untuk mendidik rakyat dan menjulang budaya politik matang. Bismillah…,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau sebentar tadi.

Menyambut baik

Menjengah ke ruangan komentar, rata-rata menyambut baik reaksi positif Dr Maszlee untuk berdebat dengan pemimpin BN berkenaan.

“Medan terbaik untuk menilai kemampuan bakal MB menjawab misi dan visi.

“Terbaik Dr… kasi jadi… anak jantan mesti jadi…,” demikian antara reaksi warganet yang turut menyifatkan Dr Maszlee sebagai calon Menteri Besar Johor selepas PRN nanti.

Terdahulu, muncul saranan agar Dr Maszlee dan Onn Hafiz menyertai Debat Perdana menjelang PRN Johor sehingga menuai reaksi umum yang menyokong budaya politik yang sihat itu.

“Sebab itu saya fikir elok benar kalau kedua-dua tokoh ini duduk sepentas dalam satu debat terbuka.

“Bentangkan apa yang mahu dibuat untuk Johor.

“Onn Hafiz boleh menjelaskan rekod pentadbirannya, hala tuju ekonomi negeri dan sebab beliau wajar terus diberi mandat mentadbir Johor.

“Maszlee pula boleh menerangkan tawaran PH, pembaharuan yang mahu dibawa serta alasan rakyat Johor perlu mempertimbangkan untuk perubahan.

“Biarlah rakyat menilai sendiri,” tulis pempengaruh Muhamad Harris Nasril.

BACA JUGA PH tampil 12 calon wanita di Johor, ini sebab pentingnya kehadiran lebih ramai kaum Hawa