Onn disarankan berdebat dengan Maszlee
Cadangan agar debat diadakan antara Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz dengan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik mendapat perhatian ramai.
Ia berlaku selepas pempengaruh, Muhamad Harris Nasril mencadangkan agar debat diadakan antara kedua-dua calon ini.
“Semalam PMX umum kesemua calon PH untuk pilihanraya negeri Johor. Yang jadi perhatian adalah calon Puteri Wangsa, Dr Mazlee Malik,” tulis Harris.
Kerusi itu sebelum ini dimenangi MUDA selepas diberikan laluan oleh AMANAH yang sepatutnya bertanding di kerusi itu dalam PRN lepas. Kali ini kerusi itu diberi kepada PKR dan Dr Maszlee akan bertanding di kerusi itu.
Menurut Harris, cakap-cakap orang di bawah ini, semuanya tahu, Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan adalah calon Menteri Besar Johor untuk Pakatan Harapan.
“Namun setakat ini, PH nampaknya memilih jalan yang lebih berhati-hati. Tiada pengumuman poster boy. Tiada nama calon Menteri Besar disebut secara rasmi.
“Mungkin mereka belajar daripada pengalaman PRN Johor sebelum ini,” kata Harris mengimbau kembali kegagalan Pengerusi Perhubungan Umno Johor tidak boleh menjadi MB selepas menjadi poster boy BN.
Dengan meletakkan gambar Debat Perdana PRN Johor, di mana wajah Dr Maszlee dan Onn digunakan, ramai yang menunggu agar debat ini benar-benar berlaku.
“Sebab itu saya fikir elok benar kalau kedua-dua tokoh ini duduk sepentas dalam satu debat terbuka.
“Bentangkan apa yang mahu dibuat untuk Johor.
“Onn Hafiz boleh menjelaskan rekod pentadbirannya, hala tuju ekonomi negeri dan sebab beliau wajar terus diberi mandat mentadbir Johor.
“Maszlee pula boleh menerangkan tawaran PH, pembaharuan yang mahu dibawa serta alasan rakyat Johor perlu mempertimbangkan untuk perubahan.
“Biarlah rakyat menilai sendiri,” tulis Harris yang berkata Maszlee walaupun ditrollkan dengan isu kasut hitam tetapi terbukti keputusan kecil ini memberikan kelegaan besar kepada ibu bapa.
Waktu itu, beliau pernah menerima pelbagai sindiran kerana memperkenalkan dasar kasut sekolah hitam.
Gelaran “Menteri Kasut Hitam” melekat agak lama. Memang jadi bahan troll, tulisnya.
“Tetapi kalau kita tanya ibu bapa yang ada anak sekolah, ramai sebenarnya suka keputusan itu.
“Bukan kerana ia dasar besar yang mengubah sejarah pendidikan negara. Sebabnya mudah sahaja.
“Kasut putih itu susah hendak dijaga. Setiap hujung minggu kena sental. Baru dua hari pakai, dibuatnya pula anak buas, sekejap sahaja putih bertukar hitam.
“Jadi, apabila kasut hitam dibenarkan, ramai mak ayah sebenarnya menarik nafas lega,” kata Harris lagi.
BACA JUGA Ketua Penerangan Bersatu cadang Samsuri buat laporan polis