Sempadan negara tak boleh dikompromi, PM lulus RM22 juta untuk AKPS
Insiden ancaman terhadap anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Bukit Kayu Hitam mendorong kerajaan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM22 juta bagi memperkukuh aspek keselamatan di pintu masuk negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peruntukan itu diluluskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejurus beliau mengemukakan keperluan untuk melengkapkan anggota AKPS dengan persenjataan dan peralatan yang bersesuaian.
“Saya telah menulis kepada Perdana Menteri mengenai keperluan AKPS dilengkapi dengan persenjataan yang diperlukan. Beliau memberikan kelulusan serta-merta bersama peruntukan RM22 juta,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu-PN) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Saifuddin, AKPS menghimpunkan pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan dan tidak semua anggota mempunyai kemahiran mengendalikan senjata api sebelum diserap ke dalam agensi tersebut.
Katanya, peruntukan berkenaan akan digunakan bagi menyediakan kelengkapan keselamatan yang sepadan dengan tugasan anggota di pintu masuk dan kawasan sempadan negara.
“Aspek keselamatan petugas sempadan tidak boleh dikompromi memandangkan AKPS kini menjadi barisan hadapan dalam mengawal kemasukan manusia dan barangan ke negara ini,” katanya.
Beliau berkata, pengukuhan keupayaan AKPS penting bagi memastikan anggota yang bertugas di sempadan mempunyai perlindungan dan peralatan yang mencukupi dalam berdepan ancaman keselamatan yang semakin kompleks.
AKPS yang ditubuhkan bagi menyelaras kawalan sempadan negara kini memainkan peranan utama dalam memerangi kegiatan penyeludupan, kemasukan pendatang tanpa izin serta jenayah rentas sempadan.
BACA JUGA Bocor 1 bilion liter setahun, MyKad untuk tutup ruang ketirisan diesel