Jangan jadi ‘drama king’, dedah siapa halang masuk FELDA – Sheikh Omar

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Ali, mencabar Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, supaya menamakan pihak yang didakwa menghalangnya memasuki kawasan FELDA.

Menurut Sheikh Omar, dakwaan yang dibuat Onn Hafiz setakat ini terlalu umum dan gagal menjelaskan pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan arahan berkenaan.

“Persoalan paling asas ialah siapa sebenarnya yang menghalang beliau? Adakah FELDA, pihak keselamatan, pengurusan rancangan atau pihak lain?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jika benar seorang Menteri Besar dihalang memasuki kawasan FELDA, perkara itu adalah serius dan perlu dijelaskan secara terbuka kepada rakyat.

Namun, katanya, kegagalan menamakan pihak yang didakwa menghalang menimbulkan persoalan sama ada dakwaan tersebut sekadar naratif politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kita kini memasuki musim pilihan raya. Rakyat berhak bertanya sama ada kenyataan sebegini sekadar cubaan membina persepsi bahawa beliau sedang dizalimi atau ‘play victim’,” katanya.

Sheikh Omar turut mempersoalkan mengapa dakwaan itu dimainkan seolah-olah wujud konspirasi untuk menyekat Onn Hafiz pada saat kehangatan politik menjelang PRN.

Beliau berkata, sebagai Menteri Besar, Onn Hafiz tidak perlu menjadi “drama king” dengan membina dakwaan kabur yang tidak disertakan fakta lengkap.

“Berhenti membina naratif simpati politik yang tidak berasas menjelang Pilihan Raya Negeri,” katanya.

Kontroversi itu tercetus selepas Onn Hafiz mendakwa beliau dihalang daripada memasuki kawasan FELDA, namun setakat ini belum menjelaskan pihak yang didakwa bertanggungjawab terhadap tindakan berkenaan.

BACA JUGA Birokrasi dipermudah: Pembiayaan TEKUN RM20,000 siap dalam sehariÂ