Bersatu bayangkan Pas umpama Lebai Malang

Bekas Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Mahiaddin Yassin tampil menyindir pendirian Pas apabila mengibaratkan situasi semasa parti itu seperti kisah klasik Melayu Lebai Malang.

Datuk Dr Marzuki Mohamad dilihat merujuk kepada ketidaktentuan hala tuju politik Pas berhubung hubungan dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Marzuki memuat naik dua tangkap layar laporan berita yang memaparkan kenyataan bercanggah melibatkan Pas.

Satu laporan bertajuk, “Pas masih mahu Bersatu kekal dalam PN, kata Ketua Penerangan” serta “Bersatu paling banyak tanding PRN Johor, 34 kerusi bertindih PN selesai”.

Mengiringi perkongsian itu, Marzuki berkongsi perumpamaan mengenai kisah Lebai Malang, seorang individu yang dijemput ke dua kenduri tetapi gagal membuat keputusan kerana terlalu sibuk mempertimbang kenduri mana lebih menguntungkan.

“Dia (Lebai Malang) dah pergi sekerat jalan ke kenduri satu, lepas itu patah balik sebab fikir kenduri satu lagi mungkin lebih sedap.

“Kemudian pergi pula ke kenduri satu lagi, tapi patah balik sekali lagi sebab rasa was-was,” tulisnya.

Menurut Marzuki, kegagalan membuat keputusan akhirnya menyebabkan watak dalam kisah tersebut kehilangan kedua-dua peluang.

“Akhirnya, habis masa kat tengah jalan. Kedua-dua kenduri dia terlepas. Lepas tu tak ada orang lagi nak ajak dia makan kenduri,” katanya secara sinis.

Walaupun tidak menyebut secara langsung pihak yang dimaksudkan, hantaran itu dilihat jelas sebagai sindiran terbuka terhadap Pas.

Parti yang dikepalai Tan Sri Abdul Hadi Awang berkenaan ketika ini dilihat berada dalam dilema selepas hubungan politik dengan Bersatu semakin tegang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Dalam masa sama, Marzuki turut berseloroh mempersoalkan mengapa perumpamaan Melayu lama itu menggunakan istilah ‘lebai’.

Beliau berpendapat golongan lebai sepatutnya sinonim dengan imej baik dan dihormati masyarakat.

“Tapi orang yang perangai macam lebai malang inilah yang merosakkan nama lebai,” sindirnya lagi.

BACA JUGA Adun Pas ini dihadap ke mahkamah esok