PH Pahang umum kepimpinan baharu, mula gerakkan jentera hadapi PRU16
Pakatan Harapan (PH) Pahang mengumumkan barisan kepimpinan baharu bagi sesi 2025 dalam usaha memperkukuh organisasi dan menyusun gerak kerja lebih tersusun menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pelantikan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan PH Pahang 2025 yang berlangsung semalam, dengan Datuk Ahmad Farhan Fauzi daripada PKR dipilih sebagai pengerusi baharu gabungan itu.
Turut dilantik ialah Lee Chin Chen (DAP) sebagai Timbalan Pengerusi I, Mohd Fadzli Mohd Ramly (AMANAH) sebagai Timbalan Pengerusi II dan Datuk Dr Suhaimi Ibrahim (PKR) sebagai setiausaha.
Dalam kenyataan hari ini, Sekretariat PH Pahang berkata kepimpinan baharu itu diyakini mampu memperkukuh struktur organisasi gabungan berkenaan supaya gerak kerja parti di semua peringkat dapat dilaksanakan secara lebih teratur, berfokus dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Mesyuarat itu turut menetapkan beberapa agenda utama, termasuk menggerakkan sepenuhnya jentera PKR, DAP dan AMANAH di seluruh Pahang bagi memastikan kesiapsiagaan optimum menghadapi PRU16.
Selain itu, PH Pahang turut memutuskan untuk membantu jentera pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan sebagai tanda kesepaduan dan semangat kerjasama di peringkat nasional.
Gabungan itu juga berikrar untuk terus memperkukuh hubungan antara pimpinan dan akar umbi, selain memperluaskan gerak kerja penerangan dan khidmat masyarakat di seluruh negeri.
“Dengan kepimpinan baharu, semangat kebersamaan dan gerak kerja yang lebih tersusun, Pakatan Harapan Negeri Pahang yakin dapat terus memainkan peranan sebagai wadah politik yang progresif, bertanggungjawab dan dekat dengan rakyat,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, PH Pahang turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu atas jasa dan sumbangan mereka dalam memperkukuh gabungan tersebut di negeri berkenaan.
Pengumuman kepimpinan baharu itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha awal PH Pahang memperkemaskan organisasi dan menyusun strategi lebih tersusun menjelang PRU16 yang dijangka menjadi medan penting dalam percaturan politik negara.
BACA JUGA Parti Bersama tak boleh menang pun, dendamnya hanya nak kalahkan PH