Dr Puad Zarkashi umum keluar Umno, dakwa Umno Johor dikawal Istana
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini mengumumkan keluar daripada parti itu serta-merta, sambil mendakwa Umno Johor tidak lagi bebas membuat keputusan kerana dikawal oleh Istana.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Puad berkata tindakannya itu dibuat tanpa “berat hati” dan mendakwa keputusan meninggalkan parti akan membolehkannya mengkritik Umno secara terbuka tanpa dituduh menikam parti dari belakang.
“Saya umum keluar Umno serta-merta mulai hari ini, 25 Jun 2026. Oleh itu Umno tidak perlu bersusah payah memecat saya.
“Ia juga memudahkan saya berbeza pandangan tanpa dituduh menikam parti dari belakang. Kini saya bebas mengkritik Umno, satu wadah yang saya sayangi dan hormati untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia,” katanya.
Puad turut menolak dakwaan bahawa tindakannya didorong kepentingan peribadi, dengan menyatakan beliau meninggalkan parti ketika Umno dilihat semakin kuat dan bersedia bertanding secara solo di 56 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurutnya, keputusan itu dibuat ketika beberapa tokoh seperti Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Tan Sri Noh Omar dilihat kembali mendekati Umno.
Dakwa pembubaran DUN atas titah Istana
Puad mendakwa beliau dimaklumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi, bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibuat atas titah pihak Istana.
“Satu bukti jelas ialah Datuk Seri Onn Hafiz sendiri buat pengakuan kepada saya semasa pertemuan di Saujana pada 21 Jun lalu. Dia maklum kepada saya bahawa pihak Istana yang bertitah agar DUN Johor dibubar pada 1 Jun 2026,” dakwanya.
Beliau turut mendakwa terdapat banyak lagi contoh yang menunjukkan Onn Hafiz sekadar menjadi “pak turut”, sekali gus menyebabkan Umno Johor menjadi “boneka yang terikat”.
“Saya perlu melakukan keberanian politik mendedahkan kemungkaran ini sebelum menjadi parah,” katanya.
Puad berkata beliau sedar kenyataannya akan mengundang kecaman dan penghinaan, malah mungkin mengancam keselamatannya.
“Namun berbekalkan keberanian politik, saya bersedia bertempur dalam apa jua keadaan,” katanya.
Beliau juga mendakwa tidak mahu Umno dipimpin oleh “pengecut politik” sehingga menyebabkan calon-calon Barisan Nasional (BN) diketawakan sebagai calon kitar semula, tidak mempunyai aspirasi orang muda dan bersifat “mediocre”.
Setakat ini, belum ada reaksi rasmi daripada pimpinan Umno, kerajaan negeri Johor mahupun pihak Istana berhubung dakwaan yang dibangkitkan oleh Puad.
BACA JUGA Kejayaan Malaysia di pentas dunia kerana penjawat awam cemerlang – PMX