Kejayaan Malaysia di pentas dunia kerana penjawat awam cemerlang – PMX

Lonjakan kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa, termasuk peningkatan 11 anak tangga dalam World Competitiveness Ranking 2026, tidak mungkin dicapai tanpa kecekapan dan komitmen penjawat awam yang memastikan setiap dasar kerajaan dilaksanakan dengan berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kejayaan yang dikecapi negara hari ini bukan hasil usaha individu tertentu, sebaliknya merupakan buah tangan seluruh pasukan perkhidmatan awam yang berkhidmat di seluruh negara.

“Saya zahirkan penghormatan dan pengiktirafan tertinggi kepada penjawat awam yang telah bekerja keras memastikan negara kita terus bergerak maju, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara yang semakin dihormati di pentas antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi santai mesra bersama warga perkhidmatan awam Zon Selatan yang menghimpunkan penjawat awam dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor di sini.

Menurut Anwar, keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia juga semakin meningkat, sesuatu yang disaksikannya sendiri ketika siri lawatan rasmi ke Jepun, Rusia dan Turkmenistan baru-baru ini.

Katanya, pelbagai kerjasama strategik dalam bidang tenaga, pelaburan dan perdagangan berjaya dimeterai hasil kestabilan politik, kejelasan dasar serta keupayaan jentera kerajaan melaksanakan keputusan dengan cekap dan berkesan.

“Dalam siri lawatan tersebut, saya melihat sendiri bagaimana keyakinan dunia terhadap Malaysia semakin meningkat,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa negara tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian semasa memandangkan dunia sedang berubah dengan pantas melalui perkembangan kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, teknologi baharu dan cabaran geopolitik yang semakin kompleks.

Sehubungan itu, Anwar berkata seluruh pasukan perkhidmatan awam perlu mempunyai propensity to change atau kesediaan untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan tuntutan baharu.

“Kita tidak boleh membiarkan budaya sambil lewa, birokrasi yang melambatkan urusan atau resistance to change menghalang usaha reformasi yang sedang dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut menyeru penjawat awam menghayati semangat itqan fil amal atau berusaha mencapai kecemerlangan dalam setiap amanah yang dipikul.

“Dengan idealisme yang teguh, nilai yang benar, akhlak yang baik serta semangat untuk terus berkhidmat, Insya-Allah kita mampu membawa Malaysia ke tahap yang lebih tinggi demi generasi masa hadapan,” katanya.

BACA JUGA Marzuki bayangkan Pas umpama Lebai Malang