Ekonomi dunia tengah huru-hara, tapi FDI Malaysia tiba-tiba ‘mengamuk’ naik 41%
Di sebalik ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia mencatatkan satu perkembangan luar biasa apabila aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) melonjak 41.2 peratus pada 2025.
Berdasarkan data terkini, FDI meningkat daripada RM46.7 bilion pada 2024 kepada RM65.9 bilion tahun ini, sekali gus menunjukkan keyakinan pelabur asing terhadap prospek ekonomi negara masih kukuh.
Lebih menarik, jumlah keseluruhan FDI yang terkumpul di Malaysia kini mencecah RM1.087 trilion, bersamaan 53.7 peratus daripada saiz ekonomi negara.
Secara mudah, angka itu menunjukkan lebih separuh ekonomi Malaysia hari ini mempunyai hubungan langsung dengan pelaburan asing yang telah bertapak di negara ini.
Jika sebelum ini pelaburan asing banyak tertumpu kepada sektor tradisional, trend semasa memperlihatkan perubahan ketara apabila sektor perkhidmatan menjadi penerima terbesar aliran masuk FDI.
Sektor berkenaan menerima RM59.5 bilion atau hampir 90 peratus daripada keseluruhan aliran masuk FDI, didorong terutamanya oleh pelaburan dalam bidang teknologi, pusat data, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan ekonomi digital.
Perkembangan itu selari dengan beberapa pengumuman pelaburan syarikat teknologi global yang memilih Malaysia sebagai destinasi operasi dan hab pusat data sejak dua tahun kebelakangan ini.
Bagaimanapun, sektor pembuatan masih kekal sebagai tonggak penting ekonomi negara.
Walaupun aliran masuk terbesar beralih kepada sektor perkhidmatan, sektor pembuatan masih mencatatkan stok FDI tertinggi dengan nilai RM55.5 bilion.
Penganalisis melihat perkembangan tersebut sebagai petunjuk bahawa ekonomi Malaysia sedang melalui proses transformasi daripada bergantung kepada pembuatan tradisional kepada ekonomi yang lebih berteraskan teknologi dan perkhidmatan bernilai tinggi.
Pada masa sama, Malaysia juga dilihat berjaya mengekalkan daya saing dalam menarik pelabur asing meskipun berdepan persaingan sengit daripada negara jiran seperti Indonesia, Vietnam dan Thailand.
Cabaran seterusnya, menurut pemerhati ekonomi, adalah memastikan setiap pelaburan yang masuk dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan bergaji tinggi, pemindahan teknologi serta manfaat ekonomi yang lebih meluas kepada rakyat.
BACA JUGA Dr Puad Zarkashi umum keluar Umno, dakwa Umno Johor dikawal Istana