Calon PKR kena lalui saringan SPRM, isytihar harta – Nurul Izzah
Semua calon PKR yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu melalui proses saringan yang ketat, termasuk semakan latar belakang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pengisytiharan harta dan penilaian psikologi sebelum diberikan watikah pelantikan.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, proses itu dilaksanakan bagi memastikan setiap calon memahami tanggungjawab dan amanah besar yang dipikul sekiranya dipilih oleh rakyat.
Beliau berkata, sebelum dipilih sebagai calon, mereka terlebih dahulu menjalani sesi temu duga oleh Jawatankuasa Penilaian Calon selain melalui beberapa proses tapisan lain.
“Sebelum sampai ke tahap ini, calon telah melalui temu duga oleh Jawatankuasa Penilaian Calon, semakan latar belakang, SPRM dan Insolvensi, pengisytiharan harta, penilaian psikologi serta menandatangani Aku Janji.
“Proses ini dilaksanakan agar setiap calon hadir dengan kesedaran yang jelas tentang amanah yang dipikul, bahawa mandat rakyat menuntut integriti, disiplin dan kesediaan untuk berkhidmat sebaik-baiknya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Nurul Izzah berkata demikian selepas selesai menyerahkan watikah kepada calon-calon PKR yang akan bertanding di bawah logo Pakatan Harapan (PH) pada PRN Johor.
Menurut beliau, rakyat tidak hanya menilai seseorang calon berdasarkan nama atau kedudukan semata-mata, sebaliknya berdasarkan kesungguhan, keikhlasan dan komitmen mereka berkhidmat di lapangan.
“Rakyat akan menilai bukan pada nama yang dicalonkan semata-mata, tetapi pada kesungguhan, keikhlasan dan kerja keras yang dibuktikan di lapangan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon dan berharap mereka dapat menggalas tanggungjawab dengan penuh integriti sepanjang kempen dan sekiranya diberi mandat oleh rakyat.
“Kepada semua calon, selamat berjuang. Semoga Allah SWT memimpin setiap langkah, menjernihkan setiap niat dan memberkati setiap usaha agar akhirnya memberi manfaat kepada rakyat yang telah meletakkan harapan,” katanya.
PRN Johor kali ini menyaksikan parti-parti bertanding memberi penekanan terhadap pemilihan calon yang berintegriti dan berwibawa dalam usaha menarik keyakinan pengundi, khususnya golongan muda dan pengundi atas pagar.
BACA JUGA Penjawat awam boleh kerja dari rumah dua hari seminggu mulai Ogos ini